Malaysia: Rogol gadis bawah umur, bekas banduan dipenjara 30 tahun, 18 sebat

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan merogol gadis bawah umur.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas Wan Zulkifli Wan Mohamad, 30, mengaku salah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah dalam proses pembinaan di Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu, jam 1 pagi pada 3 November 2017.

Tertuduh mengulangi kesalahan di lokasi sama, masing-masing pada jam 2 pagi dan 4 pagi pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah garaj rumah di Kampung Sungai Lerek, Chalok, Setiu, jam 12.30 tengah malam pada 4 November 2017.

Tertuduh sekali lagi merogol mangsa di sebuah rumah di kampung sama pada jam 2.30 pagi, 4 November 2017 dan di sebuah bangsal dalam hutan di kampung sama pada 12.30 tengah malam, 18 November 2017.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret Setiu pada 10 Disember 2017 atas kesalahan menculik mangsa sama. – Harian Metro

The post Rogol gadis bawah umur, bekas banduan dipenjara 30 tahun, 18 sebat appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

Post a Comment

0 Comments