Malaysia: Beli jet China jika EU terus boikot minyak sawit – PM Dr Mahathir

Kerajaan mungkin terpaksa menghentikan pembelian kapal terbang termasuk pesawat jet dari negara Eropah sebagai membalas tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot serta memburukkan imej minyak kelapa sawit negara di mata dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas ini pihaknya mungkin terpaksa mengintai negara lain termasuk China sekiranya wujud keperluan untuk memberi pesawat baharu pada masa akan datang.

“Kalau mereka berterusan ambil tindakan menentang kita (burukkan sawit) cuba jejaskan imej, kita mungkin terpaksa fikir semula untuk membeli kapal terbang dari China atau dari mana-mana negara lain.

“Ini bukan promosi barangan China, ini menolak barangan dari Eropah yang telah berbuat sesuatu untuk memiskin kita. Mereka tak peduli 600,000 rakyat kita, tiada pekerjaan pun tak apa, asalkan harimau dapat hidup, boleh makan orang.

“Itu kalau EU terus memberi tekanan kepada kita dan cuba memiskinkan kita. Kita tak perlukan jet pejuang hebat pun, kita mana ada duit, beli kapal terbang kecil Cessna sudah memadai,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi kekaguman terhadap teknologi China semasa menyaksikan persembahan jet pejuang di Pakistan semalam.

“Kita beli buatan China sahaja sebab masa di Pakistan semalam, saya sempat menyaksikan persembahan jet pejuang dari China dan teknologi mereka cukup mengagumkan.

“Jadi, kita mungkin terpaksa beli jet pejuang China, saya fikir teknologi mereka tak jauh beza dan ada yang sudah melebihi teknologi Eropah. Ini akan dilakukan sebab sekat minyak sawit kita,” katanya.

Tindakan EU memboikot minyak sawit negara bagaikan tiada kesudahan malah semakin terdesak apabila menggunakan isu ancaman alam sekitar dan hidupan liar sebagai alasan terbaru untuk memburukkan imej komoditi negara itu. – MalaysiaGazette

The post Beli jet China jika EU terus boikot minyak sawit – PM Dr Mahathir appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

Post a Comment

0 Comments