Malaysia: Mayat gadis tersangkut mata kail pemancing, teman lelaki mangsa ditahan polis

KUBANG PASU: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemui maut apabila mayatnya tersangkut pada mata kail seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, di sini, Sabtu lalu.

Susulan itu, polis menahan teman lelaki mangsa yang juga remaja berumur 18 tahun, kelmarin, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Ainna, ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap pada jam 11.51 malam.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima laporan berhubung penemuan mayat tanpa dokumen pengenalan diri itu, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian terletak berhampiran Gua Kerbau.

“Pada masa sama, kita juga menerima laporan mengenai penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di tepi Sungai Sentap yang kemudian didapati milik seorang remaja perempuan berasal dari Simpang Ampat, Perlis.

“Susulan maklumat itu, kita mengesan keluarga mangsa untuk membuat pengecaman sebelum ibu bapanya mengesahkan mayat terbabit adalah anak mereka.

“Hasil siasatan lanjut, kakak remaja itu memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah pada hari kejadian selepas bertemu teman lelaki.

“Bertindak atas maklumat itu, kita berjaya menahan teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan, kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan soal siasat, Mohd Ismail berkata, teman lelaki mangsa mendakwa mereka terjatuh ke sungai selepas bertengkar.

“Lelaki terbabit mendakwa dirinya berjaya menyelamatkan diri, manakala mangsa disyaki lemas. Namun, lelaki itu tidak pula meminta bantuan daripada orang ramai.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu hasil bedah siasat punca kematian mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

The post Mayat gadis tersangkut mata kail pemancing, teman lelaki mangsa ditahan polis appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

Post a Comment

0 Comments