#Informasi: PASRelief Masuki Yaman, Setelah 3X Cuba, Ini Pengalamannya..


YAMAN: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) akhirnya berjaya memasuki Yaman menerusi pintu sempadan di Suqh Har, di sini jam 9:40 malam tadi (2:40 petang tadi waktu Malaysia).
Delegasi Misi Kemanusiaan Yaman diketuai Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor ini kini sedang meneruskan perjalanan ke Seiyun sebagai 'check point' pertama sebelum ke destinasi berikutnya.
Perjalanan yang dijangka mengambil masa 9 jam ini sedang menempuh kedinginan dan gelap malam menaiki kenderaan serba guna (MPV) melalui jalan pelbagai keadaan dan banyak pemeriksaan keselamatan.
Terdahulu, misi yang dianggotai Ahli Jawatankuasa PASRelief, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ustaz Mohd Yusni Mat Piah ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Muskat, kelmarin.
Selepas penerbangan 6 jam itu, delegasi menyambung lagi penerbangan domestik hampir 2 jam ke Salalah dan terpaksa bermalam di bandar itu setelah keletihan dan kemungkinan tidak sempat ke pintu sempadan.
Keesokannya, delegasi bertolak menerusi jalan darat merentasi padang pasir berbatuan serta berbukit bukau menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) menuju ke pos sempadan pemeriksaan Imigresen di Mazyunah.
Delegasi bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan pelepasan pihak Imigresen Oman kerana dikatakan tiada pengesahan dari Kementerian Luar negara itu untuk keluar walaupun memiliki surat Kedutaan Malaysia.
Begitu juga usaha kali kedua melalui bantuan pegawai polis tempatan turut gagal hinggalah delegasi mengambil keputusan berurusan esok hari kerana Sabtu merupakan cuti minggu dan terpaksa bermalam di Mazyunah.
Pun begitu, usaha kali ketiga delegasi menerusi Kedutaan Malaysia yang kemudiannya datang berurusan dengan pihak terbabit menjelang Maghrib, akhirnya secara rasminya 'dilepaskan' keluar jam 10:30 malam waktu Oman.
Urusan hampir 12 jam itu menyebabkan delegasi kepenatan dan merancang bermalam sahaja di Suqh Har, tetapi pemandu kenderaan yang disewa, Muhsin Abdul Karim mahu memulakan terus perjalanan.
Orang ramai boleh terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa dan sebarang pertanyaan hubungi 012-596 9220 (Sanusi)atau 013-384 5555 (Mohd Adram Musa). - HARAKAHDAILY 3/3/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments