Selepas beberapa hari menjadi bualan ramai, akhirnya Janna Nick menyapa semua dengan sebuah sidang media rasmi untuk menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran ramai.
Menerusi peguamnya, Janna menjelaskan mengenai insiden sebenar disebalik rakaman video yang mencetus kontroversi itu. Katanya, dia tidak menyangka bahawa jenaka yang ditertawakannya pada ketika itu membawa maksud kepada mendiang Jonghyun (SHINee).
Ketika sedang mewarnakan rambut di salon tersebut, Janna tidak mendengar dengan jelas dek suasana yang hingar-bingar pada ketika itu oleh kerana bunyi perkakas elektronik. Tidak berniat mempersendakan kematian sesiapa, Janna Nick telah membuat permohonan maaf pada 6 Januari 2018.
Pun begitu, video tersebut yang kembali tular baru-baru ini mula menjadi bualan ramai sehingga pelakon itu dibanjiri dengan pelbagai komen provokatif. Sekali lagi memohon maaf, namun kebanyakan komen mengatakan bahawa ianya nampak seperti tidak ikhlas.
Ekoran itu, Janna terpaksa menghadapi pelbagai impak negatif seperti ugutan bunuh, ugutan jenayah, fitnah dan tuduhan palsu. Lantas laporan polis sudah dibuat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di mana jika disabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda atau pun dipenjara selama 7 tahun.
Jelas Janna,
“Saya terpaksa mengambil serius isu ini sebab perkara ini ditularkan semula selepas tiga tahun. Ia melibatkan isu kematian dan di mana saya tidak akan mempermainkan isu kematian sama sekali. Tidak mungkin datang daripada mulut saya sendiri. Dari itu, saya dituduh tidak menghormati kematian orang bukan beragama Islam, tidak sensitif atas kematian sesiapa pun. Yang mana saya rasa, itu bukanlah saya.”
Untuk isu kedua, di mana Janna dikatakan telah memberikan gelaran tidak sensitif kepada Lisa BLACKPINK iaitu Lisa ‘BLACKPIG’. Kapsyen berkenaan merujuk kepada watak antagonis Lisa yang menjengkelkan dan rasa dirinya disukai ramai.
Dengan gelaran Lisa ‘BLACKPIG’, ia sebenarnya menggambarkan seseorang yang tidak layak untuk disamakan dengan Lisa BLACKPINK yang jauh lebih tinggi pencapaiannya. Malahan telefilem itu turut menghargai BLACKPINK dan juga budaya K-Pop dengan adanya watak Kak Jennie yang merupakan peminat fanatik kumpulan idola popular itu.
“Isu Lisa Blackpig pula, saya sebagai pengarah dan penerbit filem Delen mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terasa hati, terguris hati akan kapsyen tersebut.”
Bukan itu sahaja, Janna turut menjawab persoalan berkenaan dakwaan yang mengatakan dia ada membalas kenyataan ustaz mengenai ‘taksub K-Pop’ di laman media sosial.
“Saya kena jujur, saya rasa perkara ini terlalu memfitnah saya. Saya dianiaya kerana ayat ini langsung tidak pernah dikeluarkan daripada saya, tidak dikeluarkan atau dinyatakan dalam akaun media sosial tetapi saya menerima banyak kecaman atas ayat ini”
Ditanya mengenai statusnya sebagai pengacara rancangan ‘Melodi’, Janna menjawab bahawa pihak produksi dan TV3 faham mengenai situasi yang berlaku selepas dia memberikan penjelasan yang sebenar.
Apa pun, siasatan akan terus dijalankan untuk mengenalpasti beberapa individu yang melemparkan fitnah di media sosial sebelum ini selain berharap agar perkara ini akan reda sehingga setakat ini sahaja.
The post Sampai Diugut Bunuh, Janna Nick Jawab Segala Dakwaan Dan Dedah Siasatan Polis Sedang Dijalankan first appeared on Beautifulnara - Gosip Artis Malaysia Terkini.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments