Pelakon Mia Ahmad yang baru-baru ini telah selamat melahirkan cahaya mata kedua memberitahu bahawa pengalaman melahirkan kali ini sangat mencabar memandangkan situasi sekarang di mana dunia berdepan dengan pandemik COVID-19.
Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi,32, mengatakan antara ujian yang dihadapi ketika mengandung kali ini adalah apabila dia terpaksa melakukan ujian swab COVID-19 dalam keadaan sarat mengandung.
Walaupun pengalaman melakukan ujian itu baginya agak ‘gerun’ tapi ianya tidaklah seperti di dalam fikirannya. Malah, setelah melahirkan Mia juga masih belum bersedia untuk menerima mana-mana pelawat yang ingin menziarahi dirinya dan bayi yang baru dilahirkan.
“Antara cabaran melahirkan anak kedua ini, saya kena lakukan ujian swab COVID-19/ Masa mula-mula nak kena lakukan ujian itu, memang rasa takut tapi selepas dah selesai rupa-rupanya ianya sekejap sahaja dan tidaklah seteruk seperti yang disangkakan. Selain itu, susah juga bersalin waktu keadaan macam ni. Orang takut nak datang melawat kita dan kita pun takut nak ajak orang datang tengok,”
Dia yang ketika ditemui mStar online turut berkongsi pengalaman menjaga anak perempuannya itu. Menurutnya, bayinya itu kerap bangun tengah malam dan telah menyebabkan dia tidak mendapatkan rehat yang secukupnya.
Mia yang juga isteri kepada pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohd Izham Tarmizi kini sedang berpantang di Johor Bahru.
Pasangan ini yang bernikah pada Januari 2017 lalu telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sayf Issa pada September 2018 yang lalu dan menimang cahaya mata perempuan yang belum didedahkan namanya pada bulan Jun tahun ini.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments