Sempena menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-5 pada Ogos depan, Faizal Zakaria meluahkan rasa cinta terhadap isterinya iaitu pelakon Abby Abadi.
Menurutnya, biarpun masih gagal menjadi seoarang suami yang terbaik namun kasih sayang yang dicurahkan oleh Abby kepadanya masih tidak lekang.
“Kesabaran mu menghadapi liku-liku kehidupan tanpa ada keluhan…kau tabah hadapi segalanya, walaupun ada kalanya kau dihimpit keresahan namun itu tidak menudarkan kasih sayangmu pada diri ini.”
Faizal yang lebih mesra disapa Jai memuat naik video kenangan manis mereka bersama yang disuntingnya sendiri di laman instagram.
“Sayang, 5 tahun…maaf diri ini masih gagal menjadi suamimu yang terbaik. 5 tahun diri ini masih terasa belum sempurna, malah masih banyak kekurangan, maaf ya sayang.”
Malah, Jai juga sempat menitip doa buat isterinya agar kehidupan mereka sentiasa diberkati dan dirahmati olehnya.
“Kutitipkan doa, agar Allah tempatkan mu di syurgaNya bersama mereka yang menjadi kekasih Allah, diberkati dan dirahmati kehidupanmu hingga akhir hayat”
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian yang mendapat puluhan ribu tontonan di laman berkenaan dipenuhi dengan komen murni daripada netizen yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan pasangan ini.
Untuk rekod, pasangan ini telah melangsungkan perkahwinan pada 14 Ogos 2015. Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Danial Firman yang dilahirkan secara pra-matang namun gagal diselamatkan apabila disahkan meninggal dunia selepas 70 hari dirawat di hospital.
Bagaimanapun, pasangan ini mempunyai tiga orang anak angkat iaitu Muhammad Fayyad, Maisara Dayana Fathia dan Maira Dada Farisa.
0 Comments