Mendedahkan dirinya tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon selepas berhijrah dan berhijab sekitar Februari lalu, pelakon Zila Bakarin akui kebanyakan tawaran yang datang mahukan imejnya terdahulu agar bersesuaian watak yang diberikan.
Katanya, nama Zila Bakarin amat sinonim dengan watak antagonis, jadi apabila mengambil keputusan untuk berhijab, tawaran yang diberikan dikhabarkan tidak sesuai dengan imej terbaharunya itu.
“Bila saya cakap saya dah pakai tudung, mereka terus minta maaf tidak dapat memberikan tawaran itu kerana watak tersebut tidak sesuai dengan imej baharu saya.”
Bagaimanapun, Zila masih mampu menzahirkan rasa syukur kerana kini selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, rezekinya dikatakan semakin murah.
“Selepas PKP, alhamdulilah rezeki saya mencurah-curah dan ia datang secara tiba-tiba tanpa diduga.”
Biarpun sebelum ini Zila acap kali dikaitkan antara aktres wanita yang sering berpakaian mencolok mata, namun keputusannya untuk tampil menutup aurat bukanlah paksaan mana-mana pihak malah ia dibuat secara sendiri.
Untuk rekod, Zila telah dilantik sebagai duta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ketua ikon program Jom Celik Al-Quran hasil kerjasama MAIWP dengan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ).
Selain Zila, beberapa artis turut dipilih sebagai ikon program Jom Celik al-Quran antaranya Hazwani Afiqah, Lisdawati, Adam Corrie, Heliza Helmi, dan Ustaz Rushdi Al-Jauhari.
Sumber: Gempak
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments