Selepas melalui episod duka sendiri dengan perkahwinannya yang hanya bertahan separuh jalan, Lufya Omar telah menyebut nama Sharnaaz Ahmad sebagai antara figura yang patut dicontohi kerana tetap memikul tanggungjawab sebagai bapa walaupun rumah tangganya turut dilanda badai.
Jelas Lufya, dia berasa kagum dengan sikap lelaki itu dan Noor Nabila yang sanggup menolak ketepi ego masing-masing demi kebahagiaan anak tunggal mereka, Jebat Jayden.
Sebenarnya penyanyi wanita itu hanya menyebut mengenai hal tersebut selepas dia ditanyakan mengenai perkembangan dirinya selepas sah bercerai dengan Dr Che Muhammad Hafiz beberapa hari lepas.
Menurutnya, dia tidak pernah menghalang bekas suaminya itu untuk berjumpa dengan anak mereka, Laana Haura tetapi malangnya lelaki itu langsung tidak datang ke rumah.
“Padahal saya sudah maklumkan kepadanya, kalau tak nak jumpa di rumah, boleh ke kawasan ‘club house’ yang ada menyediakan perpustakaan serta taman permainan.”
Lufya turut mengakui bahawa kehidupannya kini lebih bahagia. Namun hati seorang ibu akan sentiasa risau apabila mengenangkan nasib anaknya.
“Saya bahagia tapi bila sentuh pasal anak, ia melemahkan hati seorang wanita. Saya harap, semua dapat doakan supaya dia (bekas suami) bersetuju untuk berbincang dengan baik.”
Bahkan disebabkan isu rumah tangga yang dialami oleh mereka sejak sekian lama, hasrat untuk membawa anak perempuannya itu pergi menjalani ibadah Umrah juga tersangkut.
Dalam pada itu, Lufya sempat berpesan kepada Che Muhammad Hafiz supaya memilih kawan-kawan yang sesuai. Katanya, rakan yang baik akan menasihati kita melakukan perkara yang baik sahaja.
“Bukannya, mereka beri nasihat yang tidak sewajarnya dan bawa pula ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya.”
Meskipun terpaksa melalui jalan hidup yang sukar, wanita itu bersyukur kerana teman-temannya ada bagi memberikan sokongan kepadanya.
Semoga Lufya dan Laana terus hidup bahagia selepas ini.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments