Bakal melancarkan video muzik untuk lagu baru ‘Ada Cara’, Ismail Izzani bersedia hadapi sebarang kecaman kerana memilih gereja sebagai salah satu lokasi penggambaran.
Kata penyanyi berusia 20 tahun ini, walaupun sedar impak yang bakal timbul dek isu sensitiviti penonton namun dia berpegang kepada mesej yang mahu disampaikan dalam video ini.
Membawa kisah pasangan kekasih yang berbeza agama, lokasi itu dipilih supaya penonton mudah fahami konteks cerita.
“Saya memilih gereja supaya senang orang faham konteks jalan cerita. ‘Ada Cara’ menyentuh soal agama. Jadi saya tidak rasa ada yang salah.”
Tambah Ismail lagi, penggambaran video muzik yang dilakukan di sebuah gereja di Damansara, Petaling Jaya itu merupakan satu pengalaman baharu buat dirinya.
Bahkan penyanyi ini mengakui bahawa dia turut berasa pelik semasa pertama kali menjejakkan kaki ke rumah keagamaan itu. Berasa kekok, dia perlu mengambil masa selama 30 minit bagi menyediakan diri sebelum memulakan penggambaran.
“Tetapi apabila fikirkan tentang mesej yang ingin disampaikan kepada penonton, saya perlu buat yang terbaik. Lirik lagu ini sendiri pun sudah mendalam, ditambah dengan visual dalam gereja membuatkan hasilnya sangat mengagumkan.”
‘Ada Cara’ yang membawa kisah berkisar tentang agama, ia menonjolkan hubungan seorang lelaki yang setia dengan penciptanya.
“Apatah lagi lagu ini berkisar tentang agama. Kisah cinta seorang lelaki yang berpegang teguh kepada agamanya. Manusia berbeza tetapi Tuhan hanya satu dan lelaki dalam lagu memilih Tuhannya.”
Semoga ‘Ada Cara’ temui sukses!
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments