Menzahirkan rasa syukur selepas isterinya selamat melahirkan anak ketiga mereka awal pagi tadi, pelawak Ali Puteh yang juga adik kepada pelawak tersohor tanah air Allahyarham Abam Bocey, mendedahkan anak lelakinya kini berada dalam keadaan sihat.
Bayi lelaki seberat 3.07 kilogram itu dilahirkan pada jam 4.42 pagi tadi (Jumaat) di sebuah hospital bersalin swasta di Ampang.
“Alhamdulillah, Melati selamat lahirkan bayi ketiga kami. Bayi dilahirkan secara normal dan berada dalam keadaan sihat bersama ibunya. Saya bersyukur urusan dipermudahkan dan terima kasih kepada yang sentiasa mendoakan Melati dan anak.”
Menurutnya, kedua-dua mereka juga sudah memiliki nama buat putera tersebut dan memilih untuk menamakannya sebagai Syed Umar Iskandar yang juga seakan nama arwah abangnya iaitu Syed Umar Mokhtar.
“Memang dari awal saya nak nama arwah Abam ada. Jadi saya ambil Umar itu. Ingatan kami terhadap arwah tidak pernah pudar. Sebaik sahaja Umar Iskandar dilahirkan, saya sebak…Emak juga tidak berhenti menangis sejak saya kongsikan berita kelahiran Umar.”
Ali dan isterinya dan Melati Fitri telah selamat berkahwin pada Mei 2016. Hasil daripada perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan Sharifah Nur Aaira Qaireen, 3 tahun dan Sharifah Nur Ainul Mardhiah yang meninggal dunia selepas tiga bulan dilahirkan akibat komplikasi jantung.
Sumber: Gempak
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments