Bagi mengisi masa lapang ketika berkurung di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di negara kita, pelbagai perkara boleh dilakukan.
Lebih menarik, perkara itu juga turut dikongsi Jasmine Suraya apabila beliau kini difahamkan mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Mandarin secara dalam talian.
“Tak bosan sangat sepanjang tempoh PKP ini kerana saya sedang mengikuti kelas belajar bahasa Mandarin secara online bersama seorang guru.
“Walaupun saya orang Cina, tapi saya tak fasih berbahasa Mandarin… memandangkan saya ada letak impian nak kembangkan bakat di luar negara jadi saya kena pandai cakap Mandarin.
“Tawaran yang datang nanti mungkin memerlukan saya bawa watak Cina, jadi mahu atau tidak saya kena fasih berbahasa Mandarin dan sebab itu saya perlu bersedia,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, Jasmine yang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris itu juga sentiasa menantikan peluang untuk mengembangkan karier lakonannya ke peringkat antarabangsa.
“Peluang untuk memasuki pasaran antarabangsa lebih terbuka dan tiada halangan kerana sekarang ini ada banyak medium untuk kembangkan bakat seperti Netflix dan lain-lain.
“Sebelum kita melangkah ke fasa lebih jauh, kita perlu ada persediaan kerana persaingan di luar sangat banyak.
Tambah Jasmine lagi, beliau juga bukanlah seorang yang fasih berbahasa Melayu, namun bijak mengambil inisiatif untuk mendalami bahasa kebangsaan itu dengan lebih baik.
“Sejak kecil saya dan keluarga lebih banyak bercakap bahasa Inggeris… sesekali sahaja bertutur dalam bahasa Mandarin dan Melayu, mungkin sebab itu saya kurang fasih dalam dua bahasa berkenaan.
“Sebelum saya memasuki industri hiburan Melayu, saya ambil kelas selama enam bulan di Aswara dan setiap hari tengok drama Melayu dan bercakap kuat-kuat dalam bahasa itu.
“Sekarang ini penguasaan bahasa Melayu saya lebih baik cuma adalah pelat-pelat sikit,” katanya.
Untuk rekod, graduan Ijazah Pengajian Politik Antarabangsa dan Ekonomi di Universiti Monash, Melbourne ini telah muncul dalam pelbagai drama bersiri tempatan antaranya Kerana Terpaksa Aku Relakan, Hero Seorang Cinderella dan Alamatnya Cinta.
Sumber: mStar
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments