Tidak menafikan populariti yang diraih bapanya semakin mendapat tempat di hati warga Malaysia, pelakon dan penyanyi Dafi akui bangga dan gembira.
Menerusi laporan Harian Metro, anak kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob ini berkata, bapanya kini lebih popular berbanding dirinya biarpun sudah 12 tahun berada di dalam industri hiburan tempatan.
“Sebagai anak, saya hanya mampu bangga dan gembira dengan apa yang dilakukan bapa sekarang kerana memang tahu itu adalah minat utamanya.
“Walaupun di rumah, kami jarang berbicara soal kerjaya masing-masing, tapi saya tahu bapa puas hati dengan tanggungjawab kerja yang digalasnya sekarang,” kata Dafi.
Tambahnya lagi, meskipun setiap hari terbabit dengan sidang media, namun bapanya kelihatan sangat bersemangat dan tidak penat.
Malah, Dafi juga menafikan yang beliau mempunyai hak istimewa kerana statusnya sebagai anak kepada Menteri Keselamatan.
Hal ini kerana, Dafi kini sudah lebih sebulan terkurung di rumah ekoran Perintah Kawalan Keselamatan (PKP).
“Siapa yang anggap saya ada hak istimewa kerana status sebagai anak menteri, itu dakwaan palsu. Saya sama sahaja macam kalian semua, duduk di rumah dan tak keluar ke mana-mana pun.
“Bapa saya memang menteri tetapi, saya adalah rakyat biasa yang tidak boleh ingkar dengan arahan kerajaan. Lagi pun, pandemik Covid-19 ini sangat bahaya dan keselamatan diri lebih utama,” katanya.
Ujar Dafi lagi, beliau kini difahamkan perlu memendam seketika hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian sehingga keadaan negara kembali stabil.
Sumber: Harian Metro
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments