Selepas beberapa bulan timbul spekulasi mengenai keretakan rumah tangganya, pengacara dan pelakon, Elly Arifin mengaku perkahwinannya dengan pelawak, Jiggy dari kumpulan Masin, sudah berakhir.
Tinggal berasingan sejak November tahun lepas, mereka sah bercerai talak satu pada Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi. Bagaimanapun, Elly enggan mendedahkan punca perceraian mereka bagi menjaga hati kedua-dua belah pihak.
Puncanya, biarlah kami saja yang tahu. Tapi apa yang boleh saya katakan selepas tiga tahun berkahwin, kami gagal mencari persefahaman yang baik.
Kami mula tinggal berasingan sejak November lalu. Apa alasannya, biarlah ia menjadi rahsia peribadi kami.
Menurut Elly, tiada wanita menginginkan sebuah perkahwinan yang dibina berlandaskan cinta berakhir dengan perceraian dan tidak mudah sebenarnya untuk menghadapi situasi itu. Namun, dia percaya apa yang berlaku ada hikmahnya tersendiri.
Tidak dinafikan perpisahan ini memberi kesan pada saya, apatah lagi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana orang duduk di rumah bersama suami dan keluarga, tapi saya tidak.
Apatah lagi sudah tujuh tahun saya biasa bersamanya. Sekarang apabila sudah tidak bersama, memang berbeza apabila dia tiada di hadapan mata.
Iyalah, siapa yang berkahwin untuk bercerai? Bagaimanapun, saya percaya semua yang terjadi ada sebabnya. Saya tak mahu fikir ujian ini sebagai bebanan, sebaliknya hikmah dari Allah
Elly dan Jiggy berkahwin pada 9 September 2016 selepas bercinta selama tujuh tahun. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata, namun Elly pernah mengalami keguguran pada September lalu.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments