Kami pasti sehingga hari ini masih ramai yang tidak boleh lupa jawapan “kelaut Mawar Rashid apabila ditanya mengenai apa itu GST, ketika di pertandingan Dewi Remaja sekitar lima tahun lalu.
Tidak dinafikan kerana kontroversi itu namanya lebih dikenali dan popular. Bagaimanapun, ia masih menjadi satu isu yang kurang selesa buat tuan empunya badan dan Mawar mengaku masih ‘sentap’ dengan insiden diperli netizen apabila mengaku tidak tahu mengenai cukai itu.
Malah, dia tidak mampu menahan air matanya saat video itu dipertontonkan semula pada pelancaran produk kosmetiknya baru-baru ini.
Kalau boleh, saya mahu buang jauh kisah itu. Tapi saya belajar banyak perkara. Insiden itu menyebabkan saya jatuh ‘terduduk’.
Hakikatnya, saya bukan sengaja tidak menjawab soalan mengenai GST. Ketika itu, saya hanya jadi diri sendiri, namun, orang nampaknya tidak boleh terima.Pada detik itu, saya gementar dan tergamam hingga jadi mengarut. Saya terlalu lurus.
Ketika kontroversi GST itu hangat diperkatakan, ia adalah detik paling teruk buat Mawar apabila menerima pelbagai kritikan sehingga ada yang tergamak menggelarkan dirinya bodoh, sedangkan keputusannya ketika di sekolah cemerlang.
Saya dituduh bodoh. Tapi saya bukanlah bodoh. Saya dapat 4A masing-masing pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapat 5A. Andai saya tidak bijak, buat apa saya sambung pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan.
Saya kumpul dan bina semangat dengan sokongan keluarga, peminat dan kawan-kawan. Saya jadi lebih kuat. Saya juga belajar berdiam diri dan buktikan dengan kejayaan dalam bidang diceburi.
Kami respek sebenarnya dengan Mawar, meskipun teruk dikecam dia kuat mengumpul semangat untuk bangkit semula dan membuktikan dia mampu berjaya. Ketabahan dan semangatnya itu boleh dijadikan contoh buat masyarakat di luar sana.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments