Terbaru, Ellie Suriati meminta Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 dirombak semula bagi melindungi hak dan kepentingan masa depan industri perfileman tanah air.
Antara penambahbaikan yang dicadangkan oleh Presiden Gabungan Anak Seni itu ialah mewajibkan lesen untuk pemilik saluran YouTube kerana mereka meraih pendapatan lumayan daripada platform berkenaan.
“Antara penambahbaikan itu, menteri diseru melaksanakan lesen pengguna YouTube kerana mereka berjaya dengan kandungan kreatif disiarkan.”
Jelas Ellie lagi, ada dalam kalangan pemilik saluran berkenaan yang akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sendiri sekiranya tidak dikenakan lesen tersebut.
Contoh mudah yang diberikan oleh pelakon berusia 50 tahun itu ialah, mereka boleh gunakan wajah dia sedang berucap pada sesuatu perhimpunan tanpa mendapatkan kebenaran, kemudian dimuat naik pada saluran tertentu.
Bahkan Ellie tidak melatah sekiranya cadangannya itu mendapat kritikan kerana sudah tidak tahan melihat penggiat seni sering menjadi mangsa keadaan.
Paling dikesali oleh wanita itu ialah apabila ada pemilik saluran YouTube yang bertindak menggunakan saluran itu untuk mengkritik filem keluaran tempatan sampai memberi kesan kepada jumlah kutipan tayangan.
“Ia mengakibatkan kerugian besar kepada penerbit, pengarah dan juga kru produksi kerana tiada orang mahu menonton filem kami selepas ia digelar produk sampah.”
Pun begitu, Ellie menambah bahawa saranan berkenaan tidak dikuatkuasakan ke atas pengguna Facebook mahupun TikTok kerana mereka dianggap pengguna home video.
Selepas saranan Ellie ini sampai ke telinga netizen, ramai yang meluahkan perasaan tidak setuju dengan cadangannya.
Sumber: MalaysiaKini & Twitter
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments