Sepertinya kemelut di antara pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali masih lagi belum menemui jalan penyelesaiannya.
Menurut Ali, Hidayah telah menjawab saman yang difailkan olehnya selepas Aidiladha lalu. Malahan pelawak itu turut menjelaskan mungkin ramai yang tidak tahu bahawa balu Abam Bocey itu telah menfailkan saman terhadap keluarga Ali Puteh dengan jumlah terkumpul mencapai RM900,000.
“Saman yang dibuat oleh Hidayah itu antaranya menuduh saya mengambil harta abang saya dan harta anak yatim. Jadi, selepas berdiam diri selama beberapa bulan, dah tiba masanya untuk saya pula mengatur langkah demi membersihkan nama keluarga.”
Tambah pelawak itu lagi, dia menerima saman daripada Hidayah bermula daripada 16 hari selepas arwah Abam meninggal dunia.
“Pada ketika itu, kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah. Saya nak bersuara, tapi mak melarang. Katanya, abang baru saja meninggal dunia. Jadi, saya akur dengan permintaan mak saya.”
Selepas berdiam diri, walaubagaimanapun, bertalu-talu surat saman daripada Hidayah sampai ke rumah dan pada ketika itu sehingga menyebabkan Ali sedar bahawa wanita itu benar-benar mahu membawa hal ini ke mahkamah.
Menurut Ali, antara tuduhan lain yang difailkan terhadap dirinya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya. Pun begitu, lelaki tersebut menafikan dakwaan bahawa dia ada mengambil duit dan barangan abangnya.
“Ada satu tuduhannya mengatakan bahawa saya mengambil wang abang saya dari dalam rumah dan mengambil jam-jam tangan. Itu adalah tuduhan yang tak berasas dan bersifat fitnah.”
Berkongsi mengenai pengakuan yang dibuat oleh Hidayah menerusi peguamnya, dia mengaku mengeluarkan wang berjumlah RM10,000 dari akaun bank Abam dan mengambil empat jam tangan milik arwah.
“Sebelum ini, dia pernah keluarkan kenyataan kononnya dia dihalau dari rumah sehelai sepinggang dan keluarga kami merebut semua wang milik arwah abang saya. Jadi, bila saya nak uruskan urusan faraid, pihak bank memaklumkan mengenai wang RM10,000 yang dikeluarkan.”
Daripada bukti tersebut, Hidayah akhirnya mengakui bahawa dia ada mengambil jumlah wang tersebut dan memindahkan ke akaun anaknya selain turut mengambil jam tangan berjenama milik arwah.
Tambah Ali, tiada masalah sekiranya Hidayah mengaku dari awal mengenai pengeluaran wang yang dibuatnya. Bahkan pelawak itu mengatakan bahawa dia sedar bahawa mengikut faraid, terdapat bahagian untuk Hidayah dan anaknya malah tiada hak untuk dirinya pun.
“Bayangkan, abang saya meninggal dunia dan dikebumikan selepas Maghrib dan pada tengah hari keesokan harinya, RM10,000 dah dipindah keluar dari akaun sedangkan kami sekeluarga masih berada di rumah.”
Jelas Ali lagi, Hidayah mengatakan bahawa dia melakukan hal sedemikian kerana takut pihaknya merebut wang di dalam akaun tersebut. Tetapi Ali menepis dan mengatakan bahawa dia mempunyai duit sendiri dan tidak mahukan harta arwah abangnya itu.
Terpaksa membuka segala cerita, pelawak tersebut menjelaskan bahawa dia bukan mahu membuka aib tetapi hanya ingin membersihkan nama keluarganya selepas menerima kecaman hebat netizen.
“Dia berniaga cempedak goreng, dia beritahu media. Saya pasang batu nisan kat kubur abang saya pun, dijadikan isu. Bila dia mengaku, kenapa tak dihebahkan pula kan?”
Di pihak Hidayah, wanita tersebut kini sedang sibuk dengan perniagaannya dan memilih untuk tidak memberi komen lanjut mengenai kes itu.
Semoga semuanya dapat diselesaikan secara baik, yang penting Hamzah tidak menjadi mangsa keadaan.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments