Tidak yakin dengan tahap keselamatan selagi vaksin menghapus wabak COVID-19 belum ditemui, pengacara popular Awal Ashaari akui tidak teruja untuk keluar dari rumah.
Menurut laporan BH Online, meskipun kerajaan telah memberikan kelonggaran menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun dirinya tetap merasakan perkara itu sesuatu yang merumitkan.
“Saya terpaksa bergegas ke sebuah pusat membeli-belah untuk membeli dakwat mesin pencetak untuk kerja sekolah anak, Lara Alana. Jika sebelum ini, rasa seronok bila dapat keluar rumah, tetapi sekarang perasaan sedikit berbeza sejak wabak COVID-19 menular. Saya buat pembelian secepat mungkin dan terus pulang ke rumah.
“Keadaan sekarang agak merumitkan apabila dikehendaki memakai topeng wajah dan berkongsi maklumat diri sebelum memasuki pusat membeli-belah.
“Bagi saya, agak melecehkan untuk seorang selebriti apabila perlu berkongsi maklumat, nombor telefon dan sebagainya. Bukan apa, saya cuma bimbang sekiranya ‘privasi’ terdedah, tetapi saya faham mereka juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
Tambah bapa kepada selebriti cilik Lara Alana ini, keadaan hari ini sangat berbeza disebabkan pandemik COVID-19.
“Sepatutnya saya hanya memerlukan sekitar lima minit membeli dakwat mesin pencetak, tetapi ia menjadi berjam-jam. Nak masuk ke kedai kena beratur panjang, selain perlu menulis maklumat peribadi dan sentiasa memakai topeng muka.
“Jika tiada topeng, tidak dibenarkan masuk ke pusat membeli-belah. Saya lihat ia sudah menjadi aksesori wajib seperti telefon bimbit dan kunci kereta,” kata Awal.
Katanya lagi, melihat kepada situasi negara yang masih belum pulih sepenuhnya, beliau difahamkan memilih untuk menyambut Syawal di rumahnya sahaja kerana risau akan kondusi kesihatan anaknya yang masih kecil.
Namun begitu, beliau dan isteri tetap akan berkunjung ke rumah keluarga dan mentua, tetapi dalam keadaan berhati-hati kerana orang tuanya kini telah uzur.
“Mulanya, saya keliru apakah aktiviti kunjung mengunjung dibenarkan. Bagaimanapun, saya lega mendengar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu. Kunjungan hari raya dibenarkan tidak melebihi 20 orang.
“Biarpun ada kelonggaran, tetapi saya dan Scha tidak akan beriya-iya memandangkan Lara Alana masih kecil, manakala orang tua kami kurang sihat. Jadi, kami tidak mahu terlalu mendedahkan mereka pada bahaya.
“Mungkin kami akan berkurung juga, cuma keluar sekejap bertemu ibu bapa masing-masing,” tambahnya lagi.
Melihat kepada perkongsian di laman sosial tahun-tahun lalu, Awal dan isterinya, Scha Alyahya kerap memuat naik foto menyambut Aidilfitri dengan penuh meriah. Malah sering kali mencuri tumpuan netizen dengan persalinan yang digayakan keluarga itu sepanjang musim perayaan berlangsung.
Sumber: BH Online
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments