Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz trio 3M menyanyi sewaktu majlis makan malam amal PPBM Perak. – Foto KiniTV
oleh Shahbudin Husin
Tun Mahathir Mohamad nampaknya masih menunjukkan kecenderungan untuk terus berbalah, malah tidak mustahil sedia menjerumuskan dirinya ke kancah pertelingkahan dengan Raja-Raja sekali lagi.
Untuk rekod, Tun Mahathir telah berjaya meminda perlembagaan negara bagi menghadkan kuasa Raja-Raja ketika berkuasa semasa era BN dahulu.
Berdasarkan kenyataannya sebelum ini serta tulisan dalam blognya semalam, adalah jelas Tun Mahathir ada niat mahu sekali lagi meminda perlembagaan bagi mengurangkan kuasa Raja-Raja.
Rungutannya tentang campurtangan istana dalam pentadbiran kerajaan serta keluhannya kerana PH ketiadaan majoriti dua pertiga di Parlimen adalah mudah difahami membayangkan hasrat itu.
Tulisan beliau yang memperincikan bahawa perlembagaan Johor dan Terengganu telah terbatal sebaik pembentukan Malaya serta kerajaan yang berkuasa boleh menolak Menteri Besar pilihan istana melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri adalah gambaran kemarahan dan perasaannya ingin terus bergaduh dengan Raja-Raja.
Dalam erti kata lain, berikutan tidak puas hati dan marah dengan perlantikan dua Exco baru di Johor serta sebelum itu kerana tentangan TMJ terhadap Statut Rom, jika ada majoriti dua pertiga ketika ini, Tun Mahathir pasti tidak akan berlengah lagi meminda perlembagaan negara.
Tetapi, Tun Mahathir sebenarnya tidak wajar sama sekali untuk terus berkrisis dengan Raja-Raja ketika beliau berkuasa kali kedua melalui PH ini.
Ia adalah tindakan sia-sia, membuang masa dan merugikan PH serta dirinya sendiri dalam sisa-sisa kehidupannya di penghujung usia ketika ini.
Kenapa ia sia-sia, membuang masa dan merugikan?
Pertama, PH masih tidak ada majoriti dua pertiga di Parlimen, maka sebarang usaha untuk berbalah dan menunjukkan kekuatan kepada istana tidak akan memberi sebarang makna apa-apa.
Paling-paling hanya berbalas kenyataan melalui media saja. Rakyat pun hanya akan ketawa saja.
Lebih-lebih lagi yang sering berlawan pendapat dengan Tun Mahathir adalah TMJ yang ibarat cucu kepadanya, perbalahan ini lebih menjadikan beliau kelihatan “tidak cantik” di mata umum kerana seperti “orang tua bergaduh dengan budak-budak” saja layaknya.
Kedua, tindakan Tun Mahathir ini akan memberi imej buruk kepada PH yang baru setahun berkuasa di negara ini. Sementara beliau agak keras dan suka berbalah, parti lain seperti PKR, DAP dan Amanah tetap menjunjung dan menghormati kedudukan Raja-Raja.
Dalam Bersatu pula, Tun Mahathir sendiri tidak mendapat sokongan padu dalam isu berbalah dengan istana ini. Perlantikan dua Exco Johor baru-baru ini adalah bukti perkara itu.
Jadi, apa akhirnya nanti perbalahan ini?
Ketiga, harus disedari bahawa Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara dalam PH iaitu untuk tempoh dua tahun atau separuh penggal saja.
Tempohnya berkuasa hanya tinggal kira-kira setahun lebih sikit saja lagi, selepas ini ke mana pergaduhan itu mahu dibawanya?
Tidakkah apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir ini hanya menyusahkan penggantinya, Anwar Ibrahim serta PH dalam mengurus negara selepas beliau berundur nanti?
Keempat, rakyat kali ini tidak akan bersama lagi dengan kerajaan dalam isu Raja-Raja ini. Di sebalik banyak janji manifesto gagal ditunaikan dan prestasi menteri yang tidak memuaskan, rakyat tentunya akan lebih cenderung memihak kepada Raja-Raja berbanding kerajaan.
Kalau bergaduh dengan Raja-Raja ketika semua janji telah dipenuhi dan poket rakyat tebal berisi, barulah ada gerenti untuk kerajaan mendapat sokongan dalam apa juga tindakannya.
Kelima, tindakan Tun Mahathir ini akan menyebabkan PH terus lemah serta menyediakan ruang terbuka untuk UMNO dan Pas mengambil kesempatan mengukuhkan lagi sokongan dalam kelompok masyarakat Melayu.
Untuk itu, adalah lebih baik Tun Mahathir berhenti saja daripada melakukan kerja sia-sia ini. Hentikan ego dan belajarlah berbaik-baik dengan istana.
Tugasnya untuk kali kedua menjadi Perdana Menteri ini bukan untuk mengajak orangramai bergaduh lagi dengan Raja-Raja, tapi untuk memulihkan ekonomi, menyelamatkan negara dan memberi lebih kesejahteraan kepada rakyat jelata.
*Shahbudin Husin adalah bekas wartawan dan penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysianReview. – Majalah Review Malaysia
KLIK BACA: Najib jadi mangsa dikelirukan oleh Jho Low, pegawai bank, kata Shafee
KLIK BACA: Shafee dituduh terima wang dari Najib, elak cukai LHDN, gubah wang haram
KLIK BACA: Mahkamah Khas boleh bicarakan Raja yang didakwa, kata Bekas Ketua Hakim Negara
KLIK BACA: Najib sendiri benarkan Nik Faisal yang lari urus akaun bank – Saksi
KLIK BACA: Anak saudara Hishammuddin dapat cek RM240,000 dari Najib
KLIK BACA: Dalam ISLAM tak perlu isytihar harta, kata PAS
KLIK BACA: Siapa Roslan Sohari dikait bank Rosmah?
The post Tun Mahathir PM cuma setengah penggal buat apa bertelingkah dengan Raja? appeared first on Malaysian Review.
sumber: Malaysiareview.com via #superpantas
0 Comments