#Informasi: Jelmaan Komunis Di Sebalik Pemilu Indonesia -Presiden PAS



SAYA mengikuti secara terperinci Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia yang telah berlangsung begitu rupa, kerana rakyat Malaysia juga perlu mengetahui dan bersimpati kepada Indonesia, negara bangsa serumpun dan seagama, paling berjiran, bahkan adanya hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk.
Negara paling ramai penduduk Islam di dunia yang tetap menjadi harapan kita semua, bersama doa yang dipanjatkan dengan ikhlas kepada Allah, memohon diselamatkan daripada segala bencana dan musuh.
Bumi nusantara yang subur bagi Islam pada akhir zaman, terus menerus menjadi sasaran penjajah. Dahulunya diadu domba umatnya supaya senang dijajah dan dipecah-pecahkan pula selepas menjajah.
Sekarang dikatakan telah mencapai kemerdekaan, namun terus menjadi sasaran kuasa besar yang bertarung. Kerana Islam, maka terus dipandang musuh dengan penuh fobia sebagai senjata propaganda terkini dan dipandangnya juga kedudukan rantau dari segi geografi, politik dan ekonomi yang kaya berhasil.
Di Indonesia, berkumpulnya semua suku daripada satu rumpun di Tanah Melayu, Bugis yang datang dari Timur Nusantara, begitu juga Banjar, Jawa, Minang dan Aceh yang paling Barat wilayahnya yang sejak awal bersama gerakan dakwah dan selepasnya berjihad menentang penjajah.
Barangkali telah dilupakan oleh generasi kini, kerana banyak kenyataan yang ditulis telah disorok di bawah karpet penjajah yang membahagikan bangsa dan tanah air kita sesama mereka, seterusnya memecahkan tanah air serumpun ini, namun laksana menetak pedang ke dalam air yang tidak mungkin diputuskan.
Penjajah telah meninggalkan kesan serangan pemikiran yang masih subur beracun dengan peninggalan ideologi asing yang diimport. Kesempatan diambil daripada kealpaan para pemimpin, kelemahan para ulama’ berfeqah politik, walaupun alim dalam ilmu feqah hukum khususnya dalam aspek ibadat. Peluang paling besar diambil daripada kejahilan umat dan kemiskinannya. Digunakan juga peranan media baru tanpa sempadan terhadap yang jahil. Pengaruh politik wang pula disasarkan kepada yang fakir miskin.
Umat Islam secara khusus telah berpecah disebabkan masalah furu’ (cabang) dalam hukum agama, di tengah-tengah kejahilan umatnya, berpecah pula dalam memperjuangkan pelbagai ideologi asing kanan dan kiri.
Islam tetap dimusuhi, walaupun konsepnya adil terhadap semua dan tidak memaksa penganut pelbagai agama lain, sehingga berjaya dan diterima kedatangannya oleh penganut agama lain menjadi penyelamat yang dinamakan Futuhat Islamiyyah, bukannya kolonialisme atau imperialisme (penjajahan) yang menjadi panji-panji kedatangan bangsa Eropah ke rantau ini yang membawa konsep pengabdian terhadap rakyatnya dan merompak hasil buminya, menyebabkan penjajah itu ditentang hebat dan tidak dialu-alukan seperti kedatangan Islam yang disambut mesra oleh penganut pelbagai agama.
Saki baki penganut pelbagai agama hidup aman di tengah masyarakat Islam. Dibuktikan dalam lapangan hanya Islam yang berjaya memimpin masyarakat majmuk, sehingga kini tiada lagi sepertinya di alam dunia. Walaupun Indonesia paling ramai jumlah penganut Islam, tetapi bukan Islam menjadi rakyat yang bebas diberi hak agama masing-masing.
Namun yang memusuhi Islam terus menggila terhadap Islam, sehingga mencipta jenama Islamofobia bagi menanamkan kebencian terhadap Islam. Maka perkataan istilah Islam yang mulia, digambarkan paling negatif, seperti perkataan jihad, khilafah dan sebagainya terus dijadikan senjata bertujuan memburukkan Islam semata-mata.
Adapun yang merosakkan dan paling sesat tidak percayakan Tuhan, buruk dan paling keji seperti LGBT dijenamakan dengan indah di atas nama hak asasi manusia dan berselindung di belakang demokrasi.
Indonesia pernah menjadi sasaran Komunis ketika era Perang Dingin, supaya menjadi negara cengkamannya selepas dibentuknya Soviet Union dahulu dan Republik Rakyat China. Mereka mengusahakan supaya Indonesia menjadi negara Komunis ketiga selepasnya.
Tidak diragukan lagi betapa peranan penjajah Barat termasuk Belanda di Indonesia mengimport fahaman komunisme untuk menjadi penghalang kepada tegaknya kembali negara Islam yang difitnah lebih bahaya daripada Komunis.
Setelah gagalnya pemberontakan Komunis 1948 di Madiun, polisi mujamalah yang diterapkan oleh Presiden Sukarno dahulu dijadikan peluang keemasan untuk bergerak semula dan dirancangnya merampas kuasa. Mereka menyerap di sebalik slogan Nasakom (Nasionalis, Agama dan Komunis). Bersamanya dibangkitkan konfrontasi menentang Malaysia yang berada di blok Barat pada awal tahun 60-an dahulu.
Perisytiharan Perang Konfrontasi dijadikan peluang untuk diberi bantuan senjata oleh negara komunis kepada Indonesia. Partai Komunis Indonesia (PKI) dan segala sayapnya, pemuda, mahasiswa, wanita, petani dan lain-lain dirancang menjadi bala tentera rakyat bertopengkan perjuangan kerana mahu mengganyang Malaysia Pro Barat.
Penubuhan bala tentera begini rupa, sudah tentu bercanggah dengan pengurusan ketenteraan yang bersistematik dan berstrategik, maka sudah tentu mendapat tentangan daripada para panglima dan pegawai tinggi tentera yang lebih faham dalam ilmu ketenteraan. Mereka yang tidak bersetuju adalah penghalang kepada rancangan dan pakatan yang diatur begitu rupa.

Lebih utama lagi adalah permusuhan Komunis terhadap semua agama, terutama dan pertamanya adalah Islam yang ada dasar dan petunjuk politiknya tersendiri yang dianggapnya paling menjadi halangan kepada fahaman komunisme yang bertuhankan kebendaan itu. Maka para ulama’ dan pendukung Islam adalah musuh utama mereka. Seterusnya berlaku peristiwa pengharaman Partai Islam Masyumi yang mengambil jalan demokrasi dan tindakan ganas terhadap para ulama pesantren yang berpengaruh dalam masyarakat Islam.

Mereka juga mengambil peluang daripada tindakan ekstrem oleh pendukung Islam yang tidak sabar terhadap Sukarno dan sekutunya yang dikira menjadi penghalang kepada Islam di Indonesia itu, sehingga mencetuskan pemberontakan bersenjata, menjadikannya lebih rakus bertindak terhadap kumpulan Islam semuanya, termasuk daripada kalangan yang sederhana turut menjadi sasaran tindakan dalam satu bakul.
Kemuncaknya PKI mengadakan rampasan kuasa pada tanggal 30 September 1965 (G30S) dengan membunuh enam Jeneral Tentera Darat yang tersohor dan apabila masih ramai yang gagal dibunuh, menyebabkan tindakan balas yang menghancurkan PKI dalam arena politik demokrasi di Indonesia.
Tindakan penentangan terhadap Komunis itu lebih kuat lagi apabila didukung bersama oleh umat Islam Indonesia yang masih cintakan agamanya yang mustahil dapat dipadamkan. Bergabungnya agamawan dan tentera memudahkan gerakan Komunis itu dimusnahkan.
Seperti semua ajaran yang paling sesat sekalipun, contohnya liberalisme tidak mati benihnya, begitu juga fahaman Nazi tidak mati dengan kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua, kini muncul lagi kegiatannya di negara Barat. Maka samalah juga dengan komunisme, walaupun Soviet Union sudah berkecai dan negara besar China beralih kepada pragmatik sehingga kepada liberal kapitalisme, begitulah benih fahaman komunisme itu juga masih wujud.
Mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan Era Orde Baru dengan jenama slogan baru, iaitu reformasi yang diteriakkan. Dalam hal ini, kumpulan Islam seringkali dipergunakan dengan slogan yang indah, tetapi diselitkan bersamanya tujuan yang jahat, dan berakhir kumpulan Islam dijadikan alat atau anak tangga untuk mereka meloncat naik ke atas.
Kini era demokrasi diambil kesempatan bersama oleh parti-parti politik dan organisasi termasuk kalangan ulama yang tidak mengerti sepak terajang politik dengan disalah gunakan keikhlasannya kepada matlamat yang salah, hukumnya sama dengan jalan yang salah walaupun matlamatnya baik.
Kini disaksikan betapa munculnya anak-anak tokoh Komunis Indonesia di belakang Pemilu yang baharu sahaja telah berlangsung, penglibatan naga-naga besar di belakang “money politics” dan media sosial yang dibelanjakan itu sangat menggerunkan. Mereka melangkah sama ada secara bersendirian secara nyata dengan jenama baru tidak menyebut PKI atau perkataan komunis atau menjadi syaitan yang menyusup kepada parti-parti politik yang jendelanya sentiasa terbuka pada waktu malam.
Kita berdoa kepada Allah supaya Indonesia diselamatkan, seperti kita doakan untuk Malaysia yang tercinta ini. Insya-Allah warga Indonesia yang lebih mengenali seluruh rakyat dan muka buminya lebih memahami cara menghadapi cabaran pasca Pemilu dengan bijaksana dan selamat sejahtera.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS 
Bertarikh: 17 Syaaban 1440 / 23 April 2019 - HARAKAHDAILY 23/4/2019

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS


sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments