Pemikiran, agenda komunis masih hidup walaupun PKM sudah dihapus
ASAL usul Malaysia, bukan bernama ‘Tanah Cina’ atau ‘Tanah India’ atau tanah bangsa lain. Tetapi namanya adalah ‘Tanah Melayu’, iaitu tanah untuk bangsa Melayu dan raja-rajanya.
Seluruh dunia mengiktiraf termasuk penjajah Portugis, Belanda dan British. Jika tidak, mana mungkin pegawai-pegawai British begitu lunak amat menghormati raja-raja Melayu dan bangsa Melayu seperti Frank Swettenham, Maxwell, Bradel, Winstedt, Clementi dan lain-lain.
Begitu juga saki baki anak-anak British yang masih tinggal di sini, yang masih bersama syarikat perladangan terbesar kepunyaan bapanya (British), Sime Darby, yang kini menjadi milik PNB iaitu Sime Darby. Henry S Barlow, yang masih bersama Sime Darby sentiasa mengingatkan pengurusan Sime Darby agar tidak melupakan agenda Melayu dan Bumiputera.
Kenapa beliau begitu lunak? Kenapa ultra kiasu yang tinggal sekian lama, sentiasa membangkitkan isu-isu sensitif yang menimbulkan ketegangan dan kemarahan orang Melayu? Justeru, ultra kiasu mesti difahamkan akan hakikat sejarah Tanah Melayu. Jika tidak, setiap kali, pasti isu sensitif akan dibangkitkan dan akan menimbulkan rasa tidak senang orang Melayu.
Ultra kiasu mesti difahamkan, kenapa negara ini mempunyai sembilan raja-raja Melayu dan satu Yang di-Pertuan Agong? Begitu juga soalan kenapa negeri Melaka, yang begitu kuat sistem kesultanan Melayu, hari ini tidak lagi mempunyai raja? Sedar atau tidak, bahawa Pulau Pinang, yang menjadi sebuah negeri (negeri Selat) yang diduduki ultra kiasu hari ini adalah wilayah kepunyaan Sultan Kedah suatu masa dahulu.
Pendek kata, kewujudan raja-raja Melayu seramai sembilan orang ada sebab musababnya dan bukannya direka cipta.
Inilah soalan yang memang sukar dijawab oleh ultra kiasu kecuali beberapa orang seperti sejarahwan negara, Prof Khoo Kay Kim dan anaknya, Eddin Khoo, serta beberapa lagi dalam mereka yang tidak ultra kiasu.
Mutakhir ini, kedudukan raja-raja Melayu dibangkitkan tanpa rasa segan silu dan hilang langsung adab budaya Timur serta rasa hormat.
Pada mereka, kewujudan sembilan raja-raja Melayu tiada membawa apa-apa manfaat kepada negara ini, atau dalam kata lain membazirkan wang negara sahaja. Wang rakyat digunakan untuk menyara istana, keluarga diraja dan kerabat-kerabatnya.
Pernah atau tidak ultra kiasu terfikir bahawa asal usul negara ini bermula dengan raja-raja Melayu. Bacalah sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Tanpa kebenaran raja-raja Melayu mana mungkin ultra kiasu diterima di bumi bertuah ini. Dengan kebaikan raja-raja Melayu inilah maka ultra kiasu boleh hidup senang lenang di bumi bertuah.
Tiba-tiba apabila mereka telah senang, mendapat pangkat dan gelaran, muncul suara-suara sumbang mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu diperlekeh, dihina, dicaci dan dimaki. Sedihnya, tidak ada sebarang tindakan keras diambil setakat ini, terutama isu terbaharu berkaitan Statut Rome. Raja-raja Melayu dikritik dan dihina secara terang-terangan di khalayak.
Kita tidak nafikan raja juga adalah manusia biasa. Mereka tidak terlepas daripada melakukan dosa. Mereka juga belum tentu masuk syurga, meskipun doa dibaca ketika khutbah Jumaat memohon kesejahteraan bBaginda. Selagi raja-raja Melayu tidak sujud kepada Allah selagi itu mereka belum tentu selamat.
Tetapi kita perlu ingat, dalam konteks negara kita, raja-raja Melayu tetap bersemayam di atas takhta. Raja adalah payung kepada agama Islam, orang Melayu dan Bumpiputera. Lebih kurang sama dengan peranan raja di negara lain, seperti Thailand dan Britain. Raja adalah pelindung kepada agama dan rakyat. Sebab itu, tidak hairan jika raja begitu disanjung dan dihormati.
Jika ultra kiasu lakukan perkara yang sama di Thailand, mempertikaikan kedudukan raja di khalayak, sudah lama mereka dihumban ke dalam penjara di bawah lese mejeste. Lese Majeste, bahasa Latin, bermaksud ‘menderhaka kepada raja’. Undang-undang ini melindungi, memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi raja.
Hukuman penjara boleh dikenakan antara tiga hingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan. Malangnya, lese mejeste ini tidak ada di Malaysia. Sebab itulah ultra kiasu begitu berani.
Saya cukup bimbang dengan agenda ultra kiasu yang berideologikan komunis. Apakah kita tidak sedar bagaimana lenyapnya kerajaan beraja di negara China setelah dikuasai komunis. Pemikiran komunis masih hidup hari ini meskipun Parti Komunis Malaya berjaya dihapuskan.
Komunis itulah ultra kiasu yang antara lain mahukan sistem beraja ini dihapuskan. Mereka mahu mewujudkan sistem negara republik.
Justeru, kebobrokan ini mesti didedahkan. Ultra kiasu tidak melihat pentingnya asal usul kesultanan di negeri-negeri Tanah Melayu dalam silibus sejarah mereka di sekolah persendirian Cina. Yang lebih banyak diajar adalah asal usul sejarah bangsa dan negara China.
Bayangkan, jika pelajar di alam persekolahan tidak didedahkan dengan sejarah asal usul Melayu dan raja-raja Melayu. Jika ada pun sejarah yang ditekankan adalah sejarah sumbangan bukan Melayu menjelang kemerdekaan sahaja. Asal usul Tanah Melayu tidak diajar. Pada ultra kiasu, asal usul negara ini sudah bermasyarakat majmuk sejak daripada awalnya.
Sebab itu, pada hemat saya, selagi ultra kiasu ini sejak kecil tidak didedahkan sejarah awal negara ini, selagi itulah isu-isu sentitif akan terus dibangkitkan tanpa rasa bersalah. Ultra kiasu mesti difahamkan kenapa kita mempunyai sembilan raja-raja Melayu berbanding hanya ada satu di negara-negara lain di dunia.
Pada masa sama, kita mengharapkan juga, raja-raja Melayu dan semua kerabatnya dapat menunjukkan akhlak yang baik kepada rakyat jelata. Jika tidak, sudah pasti menjadi kesukaran kepada patik pacal yang hina ini untuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.
Patik amat percaya, kedaulatan raja-raja akan terpelihara jika raja-raja Melayu menjaga kedaulatan Allah. Ingatkan tujuh (7) wasiat raja-raja Melayu. Jagalah ia, pasti kedaulatan raja-raja Melayu akan terpelihara
Pertama, Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
Kedua, Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
Ketiga, Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
Keempat, Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
Kelima, Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
Keenam, Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
Ketujuh, Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)
Tujuh wasiat ini adalah wasiat keramat. Maka jagalah ia dengan baik. Kepada ultra kiasu yang tidak mahu patuh, maka bersegera untuk kamu kembali ke tempat asal yang tidak ada raja.
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments