Kalau tak bergolak, kenapa desak Tun M berundur? -Wan Nordin Wan Yaacob
"TIADA angin masakan pokok bergoyang," perumpamaan ini kena dengan situasi sekarang, apatah lagi yang tak makan cili tiba-tiba rasa pedas, melaung memekik marahkan PAS.
Yang menjadi sasaran di PRK Semenyih juga PAS walau PH lawan BN, Bebas dan PSM secara mutlak.
Tak nampak PH serang BN seperti sebelum ini, mengungkit-ungkit kisah silam BN, tetapi yang menjadi fokus utama PAS.
Pelik lagi ajaib, malah Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula dilihat amat bersungguh menafikan berlaku pergolakan dalam Pakatan Harapan, walaupun PAS hanya menyatakan partinya menghidu semacam satu usaha menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kenapa Anwar yang (kalau tidak kena mengena) harus menyerang dan mendakwa PAS bohong jika hakikatnya tidak berlaku perpecahan?
Dari kata-kata Anwar, jelas kelihatan beliau marah kepada PAS selepas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan mendedahkan "ada perkara yang tak kena dalam PH".
Anwar sebelum ini ada menyebut bahawa beliau akan menjadi PM (menggantikan Mahathir) dalam jangkamasa tidak sampai dua tahun seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Maknanya ada usaha dalam kalangan kumpulan pro-Anwar dalam PH berusaha mahu memastikan Presiden PKR itu menggantikan Mahathir secepat mungkin.
Tidakkan Mahathir tahu hal ini, dan tidakkah umum juga tahu usaha ini kerana pergolakan dalam pemilihan PKR sebelum ini antara kem Rafizi Ramli dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali adalah juga kerana isu Anwar mahu dinobat sebagai PM secepat mungkin menggantikan Mahathir?
Bayang-bayang Mahathir sebenarnya sentiasa menghantui Anwar, dan episod kali ini lebih terbuka sifat perangnya kerana Anwar dan kumpulannya secara terang menongkah arus berdepan Mahathir.
Sebagai orang lama dalam politik, Mahathir dapat menghidu semua pergerakan ini dengan "mashinery" yang ada, malah pada tahun 1998 sebelum isu skandal Liwat Anwar sekalipun, ia juga telah terhidu dek Mahathir akan gerakan "bawah tikar" oleh Anwar yang ketika itu Timbalan PM.
Anwar lupa, PAS banyak berjasa kepadanya semasa aksi Reformasi 1998 membawa kejayaan mengecilkan majoriti BN pada PRU 1999 semasa difitnah sebagai peliwat oleh Tun M.
Namun Anwar lupa semua itu, malah Anwar lupa bahawa PAS amat mengenali batang tubuh Anwar dengan sikap politiknya.
Anwar tak mampu menyimpan kemas rahsianya apabila sekutu baiknya sejak zaman PR hingga PH lagi iaitu DAP telah mendedahkan wajah sebenar kem Pro Anwar.
Lihat DAP Johor memulakan langkah dengan mendesak Mahathir melepas jawatan segera atas alasan tidak seaspirasi dalam manifesto PH.
Nah, inikan "retak", mahu bukti lagi, para penyokong kedua belah pihak harus melihat siri-siri ucapan antara Anwar dan Mahathir juga sekutu-sekutunya.
Nah yang nak disalahkan dan diserang PAS kenapa?
Seorang sahabat penulis menulis dalam laman sosialnya berbunyi "Kebiasaannya, orang yang salah dia akan gelabah dan berubah menjadi agresif"...Tepat pada maksud dan senario yang berlaku ketika ini, walau Anwar nafikan, kerana cemas dan takut perancangan telah dihidu sang ketua yang telah bertemu dan berbicara bersama PAS.
Adegan selepas ini lebih menarik, maka bermula lah tayangan filem hebat untuk ditonton sambil mengunyah "popcorn" perisa karamel. –HARAKAHDAILY 20/2/2019
Kronologi asakan DAP terhadap Tun M -Dr Kamarulzaman Yusof
(1) Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, 13 Jun 2018: Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa tindakan Tun Daim Zainuddin memanggil Tun Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin tidak melampaui bidang kuasa Majlis Penasihat Kerajaan adalah “tidak betul dan bercanggah dengan kedaulatan undang-undang”.
(2) Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Ipoh Timur, 2 Julai 2018: Kegagalan Tun Dr Mahathir melantik Chong Chieng Jen dan Nga Kor Ming sebagai Menteri adalah “tidak berpatutan”.
(3) Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, 6 September 2018: Kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM50 adalah “satu penghinaan kepada 15 juta tenaga kerja di Malaysia”.
(4) Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, 8 Oktober 2018: Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa kerajaan tidak menetapkan had masa tertentu bagi memansuhkan Akta Hasutan adalah “sangat dikesali”.
(5) Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, 18 Oktober 2018: Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Manifesto Pakatan Harapan menjadi beban yang besar kepada Pakatan Harapan adalah tidak tepat.
(6) Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, 10 Disember 2018: Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa pilihan raya tempatan akan membawa kepada konflik perkauman dan meluaskan jurang bandar-desa adalah tidak kena pada tempatnya dan hanyalah satu andaian beliau sahaja.
(7) Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, 11 Disember 2018: Tun Dr Mahathir mungkin tidak mempunyai maklumat yang betul bila menyatakan bahawa pilihan raya tempatan akan membawa kepada konflik perkauman dan meluaskan jurang bandar-desa.
(8) Ronnie Liu, Setiausaha DAP Selangor, 12 Disember 2018: Jika pemimpin Umno adalah sampah yang tidak berguna, saya berharap Tun Dr Mahathir tidak akan menjadi seorang pengutip sampah dan memasukkan mereka ke dalam Bersatu.
(9) Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, 14 Disember 2018: Semua kemajuan dalam usaha anti-rasuah akan terbatal dan terjejas jika kepimpinan politik gagal memberikan komitmen kepada matlamat menukar Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara berintegriti dengan menerima masuk Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua-Ketua Bahagian Umno ke dalam PH.
(10) Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka, 16 Disember 2018: Penerimaan masuk bekas-bekas pemimpin dan ahli Umno ke dalam PH adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat dan ahli-ahli PH yang telah berjuang melawan rejim BN.
(11) Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi, 13 Februari 2019: Saya tidak fikir penyokong-penyokong PH mengundi kita untuk melihat Umno 2.0 kembali berkuasa.
(12) Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, 13 Februari 2019: Kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa 7 Ahli Parlimen Umno yang diterima masuk ke dalam Bersatu telah berubah adalah tidak betul.
(13) Ronnie Liu, Setiausaha DAP Selangor, 13 Februari 2019: Adalah sangat menyedihkan apa yang Tun Dr Mahathir sedang lakukan, menerima masuk sampah seperti ini.
(14) Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan, 17 Februari 2019: Kemasukan Bersatu ke Sabah dan penerimaan masuk ahli-ahli Umno ke dalam Bersatu perlu dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
(15) Dr Boo Cheng Hau, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, 19 Februari 2019: Tun Dr Mahathir perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana tidak mempunyai keyakinan ke atas diri sendiri dan ke atas Manifesto PH. - HARAKAHDAILY 20/2/2019
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ada cubaan merudumkan Tun M? Pertemuan Tun M-PAS, adakah untuk menyelamatkan Tun M, atau Melayu.. atau Islam? Adakah Tun M mula akui PAS, Abdul Hadi, atau Islam akan menjadi penyelamat Malaysia?
Elok juga DAP/Kit Siang/Guan Eng berjumpa Abdul Hadi..
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments