#Informasi: PAS Sokong Tun M Demi Negara -SU PAS



PAS suka menegaskan sebarang bentuk sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia dibuat tanpa sebarang muslihat, sebaliknya demi kepentingan negara dan rakyatnya.
Dari awal lagi PAS amat konsisten dengan sikap bahawa berdasarkan geopilitik negara ini, mana-mana Kerajaan yang menerima mandat rakyat melalui proses Pilihan Raya Umum wajib meletakkan kepentingan Islam dan Melayu sebagai teras utama pembuatan dan perlaksanaan dasarnya dan pada masa yang sama kepentingan semua kaum dan agama lain perlu dijamin sepenuhnya. Ini adalah berdasarkan realiti masyarakat majmuk kita dan harus dilaksanakan berteraskan keadilan sejagat dan kontrak sosial yang diterima pakai sejak negara mencapai kemerdekaan.
Sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya bagi ‘menyelamatkan’ PAS daripada siasatan isu RM90 juta. Ini kerana PAS telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM untuk membuat siasatan terperinci, termasuk mengarahkan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan tohmahan ini memberikan kenyataan masing-masing.
Dalam hal ini PAS yakin SPRM akan membuat dapatan (finding) mereka dalam kadar yang segera hasil siasatan yang telus, profesional dan adil.
Dalam isu desas-desus kononnya ada pihak yang cuba mengganggu gugat kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, PAS mengulangi pendirian bahawa perkembangan yang berlaku dalam kalangan pimpinan PH mutakhir ini berhubung isu terbabit, sama ada berbentuk kenyataan atau perbuatan, termasuk luahan hati Tun Mahathir sendiri, emberikan gambaran kepada umum bahawa wujudnya semacam pertembungan keras atau ‘clash of the Titans’ dalam kalangan pimpinan PH terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir.
Di samping itu wujud juga unsur ketidapatuhan atau ‘insubordination’ yang jelas terhadap polisi dan arahan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Justeru PAS tidak boleh dipersalahkan berikutan tanggapan mengenai perkara itu, malah menggesa pimpinan utama parti-parti PH sendiri memberi pencerahan berhubung insiden dan desas-desus tentangnya yang menjadi punca kekeliruan dan tanggapan sedemikian yang menjadi rahsia umum kini.
Akhirnya PAS menegaskan segala sokongan yang diberikan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada Kerajaan dan secara lebih khusus kepada Perdana Menteri adalah atas dasar melaksanakan tuntutan Islam ‘amar makruf nahi mungkar’ selain berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) yang menjadi elemen utama amalan demokrasi yang sihat.
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
21 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 21/2/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments