#Informasi: Rakyat Asing Boleh Jadi Penduduk Tinggal Di Saudi. Begini..



Saudi ‘jual’ iqama seumur hidup Permit khas Arab Saudi ditawarkan pada harga sehingga RM890,816
JEDDAH, 13 Ramadan 1440H, Sabtu – Kerajaan Arab Saudi dilaporkan meluluskan pengeluaran iqama khas seumur hidup dengan mengenakan bayaran SR800,000 (RM890,816), sementara iqama untuk setahun ialah SR100,000 (RM111,352).
Media Arab memetik sumber berkata, Kabinet Arab Saudi buat kali pertama pada Selasa lalu meluluskan undang-undang keistimewaan khas iqama yang membolehkan rakyat asing yang layak, untuk memperoleh permit penduduk tetap, tanpa sokongan warga tempatan.
Iqama ialah permit menduduki yang membuktikan ekspatriat menetap dan boleh bekerja di Arab Saudi, tetapi dikenakan beberapa syarat tertentu.
Iqama khas menyediakan peluang kepada semua pihak yang mempunyai hubungan dengan negara itu, tanpa mengira kewarganegaraan mereka, untuk memperoleh permit penduduk tetap atau sementara.
Pemiliknya layak mendapat keistimewaan dan akses kepada beberapa perkhidmatan untuk diri mereka sendiri dan keluarga.
Pihak berkuasa Arab Saudi juga dijangka memberi keistimewaan memiliki iqama khas seumur hidup itu kepada pemohon yang mempunyai kelayakan profesional dalam semua bidang, untuk kepentingan tempatan.
Kabinet negara itu dilaporkan mengambil langkah itu selepas kajian dan keputusan awal Majlis Syura, serta menyemak cadangan Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA).
Riyadh juga dilaporkan akan mewujudkan Pusat Iqama Keistimewaan Khas – agensi utama untuk menguruskan semua hal berkaitan iqama, dalam tempoh 90 hari selepas keputusan Kabinet.
Pemohon bagi mendapatkan kad iqama ini dikehendaki memiliki pasport yang sah, sumber kewangan yang mencukupi dan berumur tidak kurang daripada 21 tahun, lapor stesen televisyen Al Arabiya.
Selain itu, pemohon juga mestilah tidak memiliki rekod jenayah, selain menyediakan laporan perubatan yang mengesahkan mereka tidak mempunyai apa-apa penyakit berjangkit.
Skim untuk menjadi penduduk negara itu, sebelum ini dirujuk sebagai ‘kad hijau Arab Saudi’ diperkenalkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada 2016, dan dijangka menyuntik berbilion-bilion ringgit kepada ekonomi negara itu.
Pemilikan iqama membolehkan ekspatriat menikmati beberapa keistimewaan yang sehingga kini hanya dibenarkan kepada warganegara Arab Saudi sahaja.
Ini termasuk memiliki hartanah, menyewa kediaman, mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta beberapa kemudahan khusus yang terdapat dalam syarat ditetapkan. – Agensi

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments