Tengku Maimun menyampaikan ucapan pada Majlis Meraikan Ketua Hakim Negara, di Istana Kehakiman, Putrajaya. -Foto Astro AWANI / Sh
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini sebak tatkala mengingatkan para hakim berkenaan tanggungjawab yang digalas oleh mereka.
Tengku Maimun yang memetik Surah An-Nisa, berkata tugas menghukum yang diamanahkan oleh Allah, perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama.
Tegasnya, ayat suci Al-Quran itu menjadi pegangannya dalam melaksanakan tugas.
Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Tengku Maimun Tuan Man diraikan oleh para hakim dalam sebuah majlis di Istana Kehakiman, Putrajaya. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
"Bagi saya, dalam melaksanakan tugas, saya akan terus berpegang dalam Surah An-Nisa', ayat 58:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
"...dan Surah An-Nisa', ayat 135:
"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan," katanya dalam nada sebak.
Beliau berucap pada Majlis Meraikan Ketua Hakim Negara di hadapan para hakim, peguam negara dan wakil-wakil badan guaman pada majlis yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Bercakap soal kritikan rakyat terhadap tugas hakim, Tengku Maimun berkata sebarang kritikan perlu dilakukan dengan berhemah dan berdasarkan fakta.
"Jika terdapat tuduhan salah laku dalam kalangan hakim, saya menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang tuduhan, laporkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.
"Orang awam juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim bagi dua Mahkamah Tinggi untuk kami melakukan apa yang sepatutnya," ujarnya.
Hadir sama pada Majlis Meraikan Ketua Hakim Negara adalah Peguam Negara, Tommy Thomas. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Jelas beliau, tuduhan liar terutama yang dibuat di media sosial tanpa menyampaikan kepada saluran yang betul untuk tindakan sewajarnya, akan membawa kerugian bukan sahaja kepada sistem kehakiman negara, malah rakyat Malaysia secara amnya. (AA)
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments