MEHREEN FARUQI (kanan) membidas Fraser Anning kerana menjadikan bayi bernama Rahma sebagai alat untuk memburukkan Islam.
CANBERRA 14 Mei – Senator wanita Islam pertama Australia Mehreen Faruqi mengecam Senator Fraser Anning berikutan tindakan pemimpin itu memuat naik kenyataan menghasut menggunakan gambar keluarga Muslim yang kesedihan di Facebook, baru-baru ini.
7News.com.au melaporkan, Anning menulis ‘Jika anda mahukan Muslim sebagai jiran, undilah Parti Buruh’ berserta gambar keluarga el-Dennaoui yang kehilangan anak perempuan, Rahma berusia 19 bulan pada 2005.
Sehingga kini Rahma masih belum ditemukan.
Mehreen berkata, Senator Queensland itu telah ‘jatuh pada kedalaman terbaharu bagi misi untuk menyemarakkan perpecahan dalam kempennya’.
“Dia menggunakan taktik mengerikan dan saya hanya dapat bayangkan bagaimana tekanan besar diterima keluarga el-Dennaoui.
“Ini merupakan tipikal retorik perkauman Anning dan memburukkan Muslim,” katanya.
Tambahnya, Anning seorang yang memalukan dan sepatutnya digantung daripada Senat, namun sedihnya perkara itu tidak diambil oleh Parti Buruh dan Liberal.
Dalam pada itu, ketika cuba mendapatkan pengesahan Anning mengenai kenyataan dan gambar itu, beliau tidak memberikan sebarang maklum balas.
Bagaimanapun, berikutan ribuan komen menuduh Anning sebagai ahli politik oportunis dan Islamofobia menyebabkan beliau memadam kenyataan itu pada tengah hari semalam. (utusan.com.my)
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments