GAZA, 26 Syaaban 1440H, Khamis– Dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke arah wilayah Israel, susulan serangan jet tentera rejim Zionis ke atas wilayah dikepung itu, hari ini.
Tentera Israel sebelum ini mendakwa, jet pejuangnya menyasarkan beberapa kubu Pergerakan Perjuangan Palestin (Hamas) di bahagian utara Gaza, sebagai tindak balas terhadap serangan belon berisi bahan bakar dari wilayah itu.
Bagaimanapun, tiada rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat serangan rejim itu. Difahamkan, serangan balas dua roket berkenaan dilancarkan dari Gaza ke arah selatan Israel, didakwa membabitkan kawasan Alumim dan Nahal Oz, di Hanegev.
Media Israel mendakwa, peluru roket terbabit jatuh di kawasan terbuka dan tiada kecederaan dilaporkan.
Penggunaan layang-layang dan belon yang berisi bahan bakar menjadi ‘senjata’ sepanjang protes mingguan rakyat Palestin berhampiran pagar yang memisahkan Gaza-Israel, sejak Mac lalu.
Tel Aviv bagaimanapun berterusan menunding jari menyalahkan Hamas, sebagai pihak bertanggungjawab dalam protes itu. Rejim Israel cuba memutarbelitkan jenayah yang dilakukan mereka sepanjang protes, dengan mendakwa kononnya penggunaan layang-layang serta belon berkenaan menyebabkan ribuan hektar ladang dan kawasan sekitar Semenanjung Gaza terbakar.
Sejak 30 Mac tahun lalu, kira-kira 270 rakyat Palestin terbunuh, manakala 16,000 yang lain cedera dalam serangan Zionis sepanjang demontrasi besar-besaran bagi menuntut pengepungan di wilayah itu ditamatkan.- Agensi
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments