Shafie berkata, beliau telah memberi arahan jelas agar ditamatkan operasi kasino mini dan mesin slot di negeri ini. - Gambar fail
SANDAKAN: Tidak akan ada lagi kasino mini dan mesin slot di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata, beliau telah memberi arahan jelas agar ditamatkan operasi kasino mini dan mesin slot di negeri ini.
"Apabila seseorang mempunyai tabiat berjudi, ia boleh membawa kepada kesan bahaya seperti pengabaian keluarga dan berakhir dengan pinjaman along untuk memudahkannya bermain lagi judi.
"Tetapi sekiranya anda mahu bermain mahjong, saya tidak kisah selagi ia tidak melibatkan wang," katanya pada satu dialog dengan komuniti peniaga Cina Sandakan di sini, hari ini.
Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai pendirian kerajaan terhadap sebuah gabungan kepercayaan di Sabah yang menggesa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengharamkan operasi kasino mini dan mesin slot di Sabah baru-baru ini.
Kerajaan Persekutuan masih mengeluarkan lesen untuk operasi yang seumpama tetapi juga melaksanakan kenaikan cukai bagi mesin slot dari RM10,000 ke RM50,000 setahun, manakala cukai untuk keuntungan daripada mesin slot dinaikkan ke 30 peratus daripada 20 peratus.
Bagaimanapun, pihak gabungan kepercayaan itu meragui dengan langkah kenaikan cukai berkenaan boleh menghapuskan perjudian.
"Saya akan berbincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar tidak menggalakkan perjudian di Sabah," kata Mohd Shafie.
-- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sila lihat hukum judi pada pandangan Islam, dalam kes Irsyad Al-Fatwa ke-160: Hukum Pertandingan Lembu Sado, terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Dimuatnaik oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad, 16 Disember 2016.
Soalan:
Baru-baru ini, saya telah mengunjungi pameran lembu sado di ekspo MAHA. Di sana saya telah ditawarkan untuk menyertai pertandingan meneka lembu sado dengan bayaran penyertaan sebanyak RM10.00. Mohon pandangan Datuk Mufti berkenaan pertandingan seumpama ini.
Jawapan:
Sebelum dijelaskan hukum bagi permasalahan di atas, dibentangkan terlebih dahulu beberapa definisi judi, dalil pengharaman dan ciri-cirinya:
Definisi Judi
Dari segi bahasa judi atau juga dikenali dalam bahasa Arab sebagai al-maisir atau al-qimar bererti permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.
Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
- Ibn Hajar al-Makki berpendapat judi merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan .
- Al-Mahalli mengatakan judi ialah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan yang terdedah untuk menang atau kalah.
- Al-Mawardi mengatakan judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan.
- Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah.
- Bagi Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa.
- Ibn Qayyim pula berpandangan judi adalah suatu situasi di mana salah seorang daripada keduanya untuk menang ataupun kalah.
-
Imam Malik pula berpandangan judi terdiri daripada 2 jenis:
- Judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat.
- Judi yang bersifat pertaruhan ialah apa-apa yang membahaya atau mengadaikan diri orang lain.
Seteleh membentangkan takrifan judi yang dikemukakan oleh para ulama, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
Pengharaman Judi
Permainan judi merupakan perbuatan yang jelas diharamkan dalam al-Quran, hadis dan juga ijmak. Firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبيِّنُ اللّهُ لَكُمُ الآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfa'at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfa'atnya'. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ' Yang lebih dari keperluan.' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir,(Surah Al-Baqarah: 219)
Dalam surah yang lain, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah Al-Maidah: 90)
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran arak dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu.
(Surah Al-Maidah: 91)
Pengharaman judi juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW antaranya: من قال لصاحبه تعال أقامرك فليتصدق
Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata pada temannya: Marilah kita bermain judi! Maka hendaklah dia bersedekah. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Selain itu, pengharaman judi ini juga telah diijmakkan oleh para ulama tanpa terdapat seorang pun ahli ilmu yang menafikannya. Perkara telah dinyatakan oleh Ibn Hazim al-Zahiri, al-Jassas, Abu Hayyan al-Andalusi, Ibn Taimiyyah dan juga al-Qurtubi.
Setelah dibentangkan nas-nas syarak berkenaan judi, maka diadapati Allah SWT telah mengharamkan sebarang bentuk perjudian kerana ia merupakan salah satu daripada cara memakan harta orang lain secara batil dan seterusnya mengundang kepada konflik permusuhan dan kebencian.
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
Setelah dibentangkan nas-nas syarak berkenaan judi, maka diadapati Allah SWT telah mengharamkan sebarang bentuk perjudian kerana ia merupakan salah satu daripada cara memakan harta orang lain secara batil dan seterusnya mengundang kepada konflik permusuhan dan kebencian.
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.
Berdasarkan ini para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.”
Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah s.a.w menang. Rasulullah s.a.w menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan.
Selain itu, sebarang permainan apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan.
Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menulis bahawa sejenis permainan yang dikenali sebagai ‘loteri’ adalah sebahagian daripada jenis perjudian di mana tidak seharusnya dipandang remeh sehinggakan digunakan atas nama badan bantuan sosial dan kemanusiaan. Sebenarnya orang-orang yang membolehkan bermain loteri kerana tujuan-tujuan yang tersebut seperti orang-orang yang mengumpul dana sumbangan kerana tujuan-tujuan khairat dengan mengadakan majlis-majlis joget dan pertunjukan seni yang haram. Sebaik-baiknya kita katakan kepada orang ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW :
إن الله طيب لا يقبل إلا طيبا
“Sesungguhnya Allah itu Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja” (Riwayat Muslim)
Dalam membahaskan hukum bagi permasalahan diatas, terdapat 2 isu permasalahan utama:
- Pihak penganjur mengenakan “yuran penyertaan” sebagaimana berikut:
• 1 tekaan : RM 10
• 3 tekaan : RM 20 - Wujudnya pihak ketiga yang membiayai hadiah iaitu seekor lembu sado atau wang tunai bersamaan RM20,000.
Kedua-dua elemen tadi telah mencetuskan keraguan dan polemik sehinggakan ramai yang bertanggapan ia diharuskan disebabkan wujudnya pihak ketiga yang menyumbang hadiah tersebut.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah dibentangkan definisi judi, pengharaman serta ciri-cirinya, maka kami berpandangan pertandingan meneka lembu sado ini dilihat mempunyai unsur-unsur perjudian sebagaimana yang berikut:
- Elemen yuran penyertaan yang wujud dalam pertandingan ini akan mengundang kepada bayaran untuk menang secara nasib (luck).
- Elemen pemenang mengambil habuan daripada pihak yang kalah (zero sum game) juga kelihatan dalam pertandingan seumpama ini.
Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kewujudan pihak ketiga lazimnya akan menjadikan sesuatu pertandingan itu menjadi hukum harus. Namun, dalam kes ini, elemen bayaran penyertaan itu telah mengubah lansdkap hukum tersebut kepada haram kerana masih lagi wujud elemen nasib (luck) dan juga pengambilan hadiah daripada pihak yang kalah (zero sum game).
Justeru, kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihati umat Islam agar berhati-hati dalam muamalah seharian, khususnya dalam konteks menyertai pertandingan moden pada masa kini agar tidak terjerumus dalam kancah maksiat kepada Allah SWT.
Bagi mereka yang telah memenangi pertandingan ini, maka hendaklah baginya menyerahkan harta itu kepada Baitulmal untuk diuruskan atau memberikannya kepada fakir-miskin kerana mereka adalah golongan yang berhak kepada harta tersebut. Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita di dunia dan juga di akhirat.
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments