KL: Suasana putih sedang melatari kebanyakan lokasi utama Ibu Negara terutama di KL Sentral, Masjid Jamek, Masjid Negara dan termasuk juga di Dataran Merdeka, Sogo serta sekitarnya seawal Subuh pagi tadi.
Individu dan kumpulan ini dijangka akan bergerak membentuk gelombang putih menyertai Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam yang bermula dari Masjid Jamek selepas Zohor nanti dan berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.
Penganjur himpunan iaitu Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Kongres Rakyat menganggarkan sekitar 10,000 peserta akan bersolidariti menggemakan amaran terhadap usaha pihak tertentu yang cuba mencabul Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Timbalan Pengerusi UMMAH, Kamaruzaman Mohamad, himpunan tersebut bukan sahaja didukung kira-kira 1,000 NGO, malah mendapat sokongan dari dua parti Melayu-Islam utama negara iaitu PAS dan Umno.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan bahawa pihak penganjur telah mengemukakan notis berkaitan himpunan.
Terang beliau, perbincangan kedua pihak telah menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi para peserta, termasuk melibatkan kelancaran trafik dan tindak tanduk berkaitan bagi menjayakan perjalanan himpunan secara aman.
Mutakhir ini kembali berleluasa usaha pihak tertentu untuk menunggang Kerajaan PH bagi merealisasikan ratifikasi Statut Rom yang didahului sebelumnya ICERD, termasuk juga mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu.
Malah, gugatan secara berani dan melampau telah ditunjukkan terhadap Majlis Raja-raja, penghinaan terhadap agama Islam, selain membangkitkan hal perkauman secara mengancam hak Melayu dan Bumiputera.
Turut disuarakan dari himpunan ini adalah bantahan terhadap PPSMI yang dilaksanakan kembali Kerajaan PH, selain pembelaan terhadap Pegawai Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim. - HARAKAHDAILY 4/5/2019
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments