Pengacara Dayah Bakar yang sentiasa tampil ceria di kaca televisyen kini telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 2.23 petang di sebuah hospital di Petaling Jaya semalam.
Memetik laporan BH Online, Dayah yang tidak ditemani suami Kapten Hanif Hamidi ketika melahirkan anak mereka kerana berada di Australia telah mengambil inisiatif untuk menghubungi suami menggunakan panggilan video beberapa jam sepanjang proses bersalin.
Menurut Dayah, sebelum bersalin juga dirinya dan Hanif sempat berinteraksi namun tetap redha kelahiran anak sulung mereka itu tidak dapat disambut suami.
“Siapa mampu menduga. Ujian Allah memisahkan saya dan suami sekian lama. Namun, dengan doa yang tidak pernah terputus dan kekuatan yang diberi Allah, saya berjaya melaluinya.”
Bagaimanapun, Dayah kini mampu menghembus nafas lega dan bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan dan berjalan lancar tanpa wujud sebarang masalah.
“Alhamdulillah, semuanya lancar dan dipermudahkan. Insya-Allah, foto dan nama anak akan saya kongsi selepas tujuh hari.”
Dalam pada itu, Dayah dan suami juga dilihat tampil memuat naik foto di Instagram yang disunting menampakkan mereka berada di lokasi sama, sebelum putera tersayang dilahirkan.
Menjengah ke ruangan komen di posting yang dimuat naik di laman Instagramnya, rata-rata pengikutnya tidak putus-putus mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan. Malah tetap teruja dengan berita kelahiran putera sulung mereka.
Untuk rekod, Dayah selamat mendirikan rumah tangga Muhammad Hanif pada Jun 2018.
Sumber: BH Online
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments