Thursday, 29 May 2014



PUTRAJAYA 29 Mei - Hukum produk Cadbury yang disahkann halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ’halal dimakan’, demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, ia termasuk dalam kategori keadaan `Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

``Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai `Umum al-Balwa'.

``Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.
DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Abdul Shukor berkata, umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.

``Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,'' katanya.

Beliau berkata, pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna.

Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam.

``Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,'' katanya.
Abdul Shukor berkata, hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal.

Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya.

``Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,'' katanya.
Abdul Shukor juga berkata, keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.

``Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,'' katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_39/Hukum-produk-Cadbury-tercemar-DNA-babi-halal-dimakan-----fatwa-Majlis-Kebangsaan#ixzz339bmiwEt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 28 May 2014

ISU CADBURY : TIADA 'BERSIH DARAH' & TIADA SAMAK/SERTU MULUT



ISU CADBURY : TIADA 'BERSIH DARAH' & TIADA SAMAK/SERTU MULUT

Bagi sesiapa yang telah termakan Cadbury berDNA babi secara tersalah atau tidak tahu berkenaan kewujudan unsur babi tersebut. Menurut hukum Islam, mereka TIDAK BERDOSA dan seterusnya TIDAK PERLU membersihkan darah. 

Sebagaimana firman Allah swt :
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {الأحزاب: 5}
Ertinya : Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Ahzab : 5)

Dan Nabi Muhammad salla ‘allahu ‘alaihi wasallam:
إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه. رواه ابن ماجه وصححه الألباني.
Ertinya: Sesungguhnya Allah swt melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka. ( Riwayat Ibn Majah, sahih)

Justeru, tiada istilah ‘membersihkan darah’, atau seolah DIRI akan ke neraka atau AMALAN LAIN akan DITOLAK kerana coklat terbabit sekiranya darah tidak dibersihkan. Ini semua tidak benar.

Namun, jika ingin diambil SAMAN GANTIRUGI atas kesilapan Cadbury dan kealpaan mereka atau keculasan menggunakan logo halal pada yang tidak halal, itu WAJAR DILAKUKAN namun JANGAN dihujah atas nama ‘membersihkan darah’ seolah ia tuntutan agama.

Juga TIDAK PERLU disamak mulut dan usus dengan air tanah, Islam tidak menuntut sedemikian dalam hal seperti ini. Jangan menyebabkan Islam disalah tanggapi dengan pandangan pelik dan tidak berasas kukuh.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
28 Mei 2014


Sumber : https://www.facebook.com/DrZaharuddin

Monday, 26 May 2014

Keputusan status halal coklat Cadbury selepas analisis - JAKIM



PUTRAJAYA: Keputusan rasmi berhubung status halal berikutan penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperolehi dalam tempoh tujuh hari.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas JAKIM bersama-sama Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia. 
"Makmal Jabatan Kimia merupakan makmal rasmi digunakan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini. 

Beliau berkata, makmal itu juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses.

Dua sampel coklat keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd yang didapati mempunyai DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013 N01RI1).

Othman berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Kementerian Kesihatan menghantar secara rasmi laporan hasil penemuan analisis kedua-dua sampel produk berkenaan kepada JAKIM bagi melengkapkan hasil siasatan.

Selain itu, katanya sebarang penemuan oleh mana-mana agensi yang melibatkan isu halal perlu diselaraskan bersama JAKIM atau JAIN.
"Oleh itu kenyataan berhubung isu halal hanya akan dikeluarkan oleh JAKIM bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam," katanya.

Menurutnya, JAKIM turut menetapkan pemegang Sijil Halal Malaysia perlu membuat pengujian berkala bagi produk dan ramuan kritikal (seperti ramuan berasaskan haiwan) di makmal yang telah mendapat akreditasi Jabatan Standard Malaysia.
Pada masa sama, pihak JAKIM telah menghantar pasukan pemantauan dan penguatkuasaan halal membuat pemeriksaan terhadap seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat itu merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain sebagai sebahagian proses siasatan.

"Jadi semua pihak digesa tidak membuat tindakan terburu-buru dalam isu itu bagi mengelak keresahan awam, sebaliknya menyerahkan tindakan dan keputusan selanjutnya kepada pihak berautoriti," katanya.

- BERNAMA 

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KeputusanstatushalalcoklatCadburyselepasanalisis-JAKIM/Article/?mutakhir=1


APPLICATION ONEXOX

JOM DOWNLOAD APPLICATION ONEXOX DI TELEFON BIMBIT ANDA! APPLICATION INI PENTING BAGI MEMUDAHKAN ANDA UNTUK TRANSFER KREDIT DA KE MA ,...