Perbuatan memegang telefon ketika solat untuk membaca surah yang belum dihafal adalah dibolehkan selagi tidak menjejaskan kekhusyukan.
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa para ulama membenarkan membaca daripada mushaf, termasuk melalui telefon, berdasarkan amalan sebahagian ‘salaf’ yang membaca daripada mushaf ketika solat.
Namun, disarankan agar memegang telefon dengan satu tangan atau meletakkannya di tempat yang mudah dibaca, kerana itu lebih baik daripada kerap bergerak untuk mengambil dan meletakkannya.
“Jadi, individu yang menggunakan telefon untuk membaca surah ketika solat, solatnya tetap sah selagi tidak melakukan banyak pergerakan atau mengganggu kekhusyukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas isu tular di TikTok mengenai seorang wanita yang melakukan siaran langsung ketika menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan.
Dalam video tersebut, wanita berkenaan jelas kelihatan memegang telefon di sebelah tangannya, menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.
Mohd Sukki menjelaskan bahawa membuat siaran langsung di media sosial ketika solat boleh mengganggu tumpuan ibadah hingga berpotensi membatalkannya.
Dalam Islam, khusyuk adalah elemen penting dalam solat. Jika seseorang melakukan sesuatu yang mengganggu fokus solat, ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah.
Menurut pandangan Mazhab Syafie, sebarang perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat dan mengganggu tumpuan boleh menyebabkan ibadah itu terbatal.
Berhubung tindakan menanggalkan atau memakai semula cermin mata ketika solat, beliau berkata, ia tidak membatalkan solat selagi pergerakan tidak melebihi tiga kali.
Solat masih sah jika tidak melibatkan pergerakan yang banyak atau interaksi dengan orang lain. Namun, solat sambil bersiaran langsung boleh mengurangkan kekhusyukan dan memberi kesan negatif terhadap pemahaman masyarakat tentang adab dalam ibadah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post “Pegang Telefon Ketika Solat Dibolehkan Asalkan Tidak Ganggu Khusyuk” – Mufti Pulau Pinang first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments