KUALA TERENGGANU 23 Jan. - Penasihat DAP, Lim Kit Siang perlu segera hentikan pembohongannya terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila mendakwa Presiden Pas itu pernah berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.
Pengerusi Majlis Penasihat Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau hairan bagaimana Kit Siang masih terus berbohong dengan memutar belitkan fakta kononnya Abdul Hadi memang inginkan jawatan nombor satu negara itu.
"Saya tak faham kenapa Kit Siang tak habis-habis berbohong dengan mengatakan presiden Pas (Abdul Hadi) yang dikatakan macam melobi untuk jadi PM (Perdana Menteri).
"Memang saya tak faham kenapa dia (Kit Siang) terus menerus berbohong berkaitan isu ini, (sedangkan) saya sentiasa hadir dalam setiap perbincangan kalangan pemimpin tertinggi (pembangkang) semasa Pas dalam pakatan rakyat dulu.
"Dalam perbincangan sama ada antara Pas dengan DAP atau Pas dengan PKR pada waktu itu, dan saya pula sebagai Setiausaha Agung Pas ketika itu yang sentiasa hadiri perbincangan tak pernah pun dikemukakan atau dicadangkan oleh Pas agar Tok Guru (Abdul Hadi) jadi Perdana Menteri Malaysia," katanya, di sini hari ini.
Beliau yang juga lebih senang dikenali sebagai Cikgu Pa mengulas kenyataan penasihat DAP itu di dalam blognya yang disifatkan satu pembohongan apabila mendakwa Abdul Hadi pernah melobi untuk menjadi Perdana Menteri sewaktu Pas dalam Pakatan Rakyat dahulu. - UTUSAN ONLINE
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments