#Informasi: DAP Biadap Anti-Islam, Raja, Bumiputera. Ini 15 Hujah.




TERYATA begitu gerun sekali Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan kebenaran yang dihujahkan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengenai sikap DAP yang menentang usaha menegakkan serta meninggikan syiar Islam dan kedudukan Melayu-Bumiputera.
Berikut ialah senarai 15 hujah dan bukti bahawa DAP sememangnya menentang Islam dan kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera, juga kepentingan berkaitan Bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu yang menjadi tonggak utama Perlembagaan Malaysia. Malah, DAP sudah cukup masyhur terkenal dengan kelantangan celupar dan biadab, memperlekeh, mempertikai, memprovokasi serta campur tangan terhadap hal ehwal, institusi dan tokoh Islam juga.
1.     Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidil Adha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang yang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.
2.     Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal”.
3.     Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan "mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.
4.     Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis, “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.
5.     Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.
6.     DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada Raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang yang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.
7.     Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
8.     Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Qur’an, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Qur’an melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh, antara disebut beliau, "bahkan juga 1500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”
9.     Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam ‘Facebook’beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Ahli EXCO Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.
10.     Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.
11.     Dalam isu aurat, Nga Kor Ming telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".
12.      Dalam isu murtad, Dato’ Ngeh Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.
13.     Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Januari 1995, Barisan Alternatif pada September 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.
14.     Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang”.
15.     Kuat menyuarakan supaya konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.
Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini. Sehubungan dengan itu, kami di Dewan Pemuda PAS Malaysia mencabar DAP supaya menjawab setiap satu daripada semua hujah ini dengan fakta yang sahih.
Sesungguhnya kami berdiri teguh di belakang Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam meninggikan syiar Islam sebagai teras negara dan bangsa Malaysia serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera dan ketuanan Raja-raja Melayu yang berdaulat di bumi Malaysia ini.
Oleh:
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
23 Januari 2019 | 17 Jamadilawal 1440 - HARAKAHDAILY 23/1/2019

sumber : IbnuHisyam.com #superpantas

Post a Comment

0 Comments