Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hasil daripada mesyuarat pertama perbincangan dengan KPWKM mengenai Pendidikan Seks pihaknya mengenal pasti tiga aspek yang perlu dititik-beratkan iaitu murid, guru dan sekolah. - Gambar fail/BERNAMA
[EKSKLUSIF] Pendidikan Seks: 4 kementerian termasuk D11 Bukit Aman gembleng tenaga
PUTRAJAYA: Empat kementerian termasuk Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman akan bekerjasama dalam usaha menurunkan masalah gejala sosial serta membincangkan elemen Pendidikan Seks dalam mata pelajaran di sekolah.
Ia terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hasil daripada mesyuarat pertama perbincangan dengan KPWKM mengenai Pendidikan Seks pihaknya mengenal pasti tiga aspek yang perlu dititik-beratkan iaitu murid, guru dan sekolah.
“Dari segi murid, kita akan mengkaji semula kurikulum sedia ada untuk pastikan ia dikemaskini dan cukup disamping menambah bahan tambahan yang boleh digunakan untuk pastikan mesej yang dihantar mengenai Pendidikan Seks ini dapat senang diterima oleh murid.
“Kedua kita akan pastikan kesemua 400 ribu warga pendidik sekolah menengah dan rendah mendapat informasi, latihan dan maklumat yang betul mengenai Pendidikan Seks agar mereka mendapat sokongan ketika menghadapi situasi ditanya oleh murid yang kadang-kala sukar untuk dijawab.
“Ketiga, kami akan bekerjasama dengan KPWKM, KDN, KKM dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk kenal pasti sekolah dalam kategori ‘kawasan panas’ untuk perbanyakkan aktiviti di sana bagi menangani gejala sosial,” katanya kepada Astro AWANI di Putrajaya, pada Jumaat.
7.3% pelajar berumur 13 hingga 17 tahun ada pengalaman Seks
Mengulas lanjut, Teo berkata perkataan ‘seks’ cukup rumit kerana ia dianggap pantang larangn (taboo) dalam masyarakat negara ini dan mempunyai pelbagai pandangan namun pihaknya tidak boleh mengenepikan fakta kajian oleh KKM bahawa 7.3% pelajar berumur 13 hingga 17 tahun telah mempunyai pengalaman seks.
“Ini adalah realiti yang kita tidak dapat nafikan, KPM ada tanggungjawab untuk pastikan pelajar terima infomasi betul kerana sekarang ini terdapat banyak informasi salah diterima mereka melalui pelbagai saluran media sosial ketika ini.
“Kita bukan nak menggalakkan seks, tapi kita nak pastikan mereka berilmu untuk melindungi mereka dan kesihatan, sekarang kita hadapi banyak masalah seperti penderaan seksual kanak-kanak dan sebagainya kerana jika mereka sedar di usia lebih tua nanti, ia sudah terlambat,” jelasnya.
Pendidikan Seks Bukan Tanggunjawab KPM dan Guru Sahaja
Sementara itu, Timbalan Menteri KPWKM Hannah Yeoh berkata, mesyuarat kedua perbincangan mengenai Pendidikan Seks akan melibatkan KKM, KDN dan juga unit D11 dari Bukit Aman bagi mengetahui trend jenayah seksual yang berlaku.
“Kita juga akan memperkasakan peranan kaunselor di sekolah, kerana kemungkinan ada ramai pelajar yang tidak berani untuk tanya soalan kepada cikgu yang mengajar tetapi lebih suka kepada privasi dengan kaunselor kerana lebih selesa.
“Pendidikan seks juga merupakan tanggunjawab ibu bapa, kadang-kala kita tidak tahu menggunakan perkataan apa, berapa umur sesuai untuk kenalkan mengenai pendidikan seks kepada anak-anak jadi ibu bapa juga perlukan bimbingan, kita akan bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk luaskan perkara ini kepada ibu bapa.
Terdahulu, Hannah baru-baru ini turut menyatakan berdasarkan rekod dan statistik, sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di kelas peralihan seluruh negara dikesan cergas dalam hubungan seks bebas. (AA)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Masalah 'seks bebas' juga tidak lepas dari tanggungjawab Kerajaan PH.
(Lihat juga.. 9% Pelajar Peralihan Aktif Seks Bebas -Hannah Yeoh... Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tidak adakah peluang mengambil sistem pembelanjaran seks menurut kaedah ilmu Islam, yang telah berjaya melahirkan pelajar bertakwa dan bermoral di bawah pimpinan guru dan ulama Islam terdahulu?
Betapa ramainya 'bijakpandai bertakwa dan bermoral' yang terhasil dari sistem pembelanjaran tersebut sebelum ini? Sila buat kajian, jangan biarkan, 'seks bebas syaitan' budaya bejat barat itu, menyeludup masuk di kalangaan pelajar dan remaja Malaysia.
Fikir-fikirlah untuk kesejahteraan negara kita!)
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments