GEORGE TOWN: Gara-gara enggan mengeluarkan sijil cuti sakit, seorang doktor hospital kerajaan di sini ditampar suami kepada pesakit wanitanya awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada jam 1.17 pagi, doktor berusia 29 tahun itu ditampar lelaki itu sejurus selepas isteri suspek selesai menjalani rawatan, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata suspek ditahan susulan laporan yang dibuat doktor berkenaan.
"Selepas merawat wanita terbabit, doktor itu tidak memberi sijil cuti sakit kepadanya seperti yang diminta. Kemudian, suami wanita terbabit yang berang terus menampar pipi sebelah kiri doktor tersebut.
"Doktor berkenaan terus membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis berjaya menahan suspek," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
"Doktor berkenaan terus membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis berjaya menahan suspek," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Che Zaimani berkata suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu positif dadah dan mempunyai rekod lampau.
"Ujian saringan air kencingnya mendapati positif syabu. Semakan juga mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah melibatkan dadah dan mencuri.
"Lelaki berasal dari Flat Padang Tembak itu kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa doktor itu ditampar oleh pemandu lori? Jawapannya ialah kerana 'mabuk'. Sama saja mabuk arak atau mabuk 'dadah'. Semuanya menjadi punca kepada segala kejahatan.
Pengertian Mabuk
Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau, yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya.
Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan penggunanya, sama ada kadar yang diambil itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak, dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”
Riwayat Abu Daud (368), al-Tirmizi (1866) dan Ibn Majah (3393)
Hadith seterusnya daripada Aisyah R.Anha, katanya, sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ مَا أَسْكَرَ الْفَرَقُ مِنْهُ فَمِلْءُ الْكَفِّ مِنْهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq (فرق) boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.” Riwayat al-Tirmizi (1867) dan Abu Daud (2687)
Mabuk Itu Adalah Najis, Termasuk Dadah Dan Arak.
Menurut Mazhab al-Syafie, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
“Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).” (Surah al-Maidah: 90)
Perkataan rijsun dengan makna kotor dan najis.
Hikmah 'haram' yang memabukkan.
Allah SWT mengurniakan nikmat yang berbagai-bagai kepada manusia dan yang paling utama ialah nikmat akal yang membezakan manusia, bahkan memuliakannya berbanding dengan makhluk yang lain.
Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.
Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.
Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Maidah: 91)
Begitu juga hadith daripada Rasulullah SAW:
اجْتَنِبُوْا الخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.”
Riwayat al-Hakim (4/145)
Begitu juga, hadith daripada Uthman RA secara mauquf:
اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِثِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”
Riwayat al-Nasaie (8/315)
Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman yang memabukkan.
Hukuman Pengguna Dadah Dan Arak
Selepas diterangkan maksud memabukkan dan diketahui hukum perkara yang memabukkan. Begitu juga, dalil dan hikmah. Maka di sini, diterangkan hukum berkaitan meminum perkara yang memabukkan. Peminum arak akan menghadapi dua hukuman yang berikut:
Pertama: Hukuman dari sudut perundangan dilaksanakan di dunia, iaitu hukuman hudud.
Kedua: Hukuman dari sudut agama yang dilaksanakan pada hari Kiamat.
Dari sudut agama, hukumnya berdosa. Perlaksanaannya terserah kepada Allah terhadap hamba-Nya yang sedikit pun tiada kaitan dengan undang-undang dunia. Walau bagaimanapun, ulama’ sepakat menyatakan bahawa meminum minuman yang memabukkan dengan sengaja adalah berdosa besar.
Pada hari Kiamat, balasannya amat dahsyat selagi tidak mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah SWT:
Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA , sabda Nabi SAW:
إِنَّ عَلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ: عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (طينة الخبال). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” Riwayat Muslim (2002)
Sila rujuk BAYAN LINNAS SIRI KE-117 : HINDARI BAHAYA ARAK Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan
sumber : IbnuHisyam.com #superpantas
0 Comments