Mahkamah Persekutuan hari ini dimaklumkan bahawa sabitan dan hukuman mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, adalah tidak selamat dan perlu dibatalkan.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Muhammad Najib, menyatakan bahawa tiada bukti yang cukup untuk mendakwa perayu ketiga di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, apatah lagi bagi kesalahan membunuh.
Menurut beliau, Mahkamah Tinggi telah membuat kesilapan dengan bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27 (SP27), iaitu pemilik seterika.
Tiada dalam mana-mana keterangan SP27 yang mengatakan dia melihat perayu ketiga menyeterika mangsa (Zulfarhan). Penemuan yang salah ini telah menyebabkan anak guam saya terjejas. Ini adalah kesilapan yang boleh dirayu.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Muhammad Akmal dan Muhammad Azamuddin, berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal memenuhi bukti yang diperlukan untuk sabitan membunuh terhadap dua perayu itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa keterangan saksi pembelaan ke-19 (SD19), Dr. Rohayu Shahar Adnan, mengenai kemungkinan kematian akibat kecederaan melecur teruk atau sebab lain, telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Oleh itu, jika dilihat secara keseluruhan, keterangan pakar saksi pendakwaan keenam (SP6), Dr. Salmah Arshad, adalah tidak muktamad dan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak cukup untuk membuktikan kesalahan membunuh.
Peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus, yang mewakili Abdoul Hakeem, pula menyatakan bahawa mangsa mungkin telah meninggal dunia akibat sindrom Steve Johnson, iaitu kematian yang disebabkan oleh antibiotik yang diberikan oleh doktor.
Pendengaran kes ini di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, akan bersambung pada 28 Februari.
Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM tersebut kerana membunuh Zulfarhan, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi mereka sebelum ini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017, dan Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post “Zulfarhan Mungkin Meninggal Dunia Akibat Sindrom Steve Johnson” – Peguam Hujah Hukuman Mati Terhadap Enam Bekas Pelajar UPNM Tidak Selamat first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments