Menafikan dakwaan rumah tangga yang dibina bersama suami, Muizz Nasruddin sedang bermasalah, aktres Nadia Brian mendedahkan hubungannya dengan suami masih baik.
Dakwaan itu muncul selepas Nadia dikhabarkan langsung tidak memuat naik gambar bersama suami selepas kali terakhir pada Aidilfitri lalu.
“Saya ada saja kongsi gambar bersama, tapi soal peribadi saya memang tak suka kongsi di media sosial. Apa yang penting dikongsikan ialah mengenai kerja.”
Menurutnya, tidak memuat naik gambar bersama bukan bermaksud dirinya tidak bahagia disamping suami, malah mengakui beliau kini memberi fokus kepada ibu dan neneknya yang difahamkan kurang sihat.
“Saya tak nak fikir mengenai orang lain. Sekarang ini untuk keluarga dan diri sendiri saja. Dengan suami okay saja. Saya tak nak ulas banyak mengenai dirinya. Dia pun perlukan privasi sebab dia bukan orang industri hiburan.”
Katanya, Muizz tidak pernah lekang menyokong kariernya dalam industri hiburan.
“Mungkin dia tak biasa. Dia okay dan sentiasa menyokong saya.”
Bagaimanapun, Nadia yang popular menerusi drama Cinta Tanpa Henti itu dikatakan menangis ketika ditemubual terutama apabila bercakap mengenai rumah tangga.
“Sedih sebab perkahwinan ini kita nak bahagia dan sampai bila-bila. Mungkin ada macam dugaan Allah SWT hantar dan macam mana kita kawal. Apa-apa pun saya berserah kepada hati dan niat dan mencari kebahagiaan.”
Nadia yang akui ada pasang surutnya di awal perkahwinan itu tetap berpendirian bahawa dirinya kini hanya mahu memberi fokus kepada kerjaya semata-mata malah tidak segan memaklumkan beliau langsung tidak pernah melakukan apa-apa masalah dengan sesiapa.
Untuk rekod, Nadia dan Muizz telah selamat diijab kabulkan pada 9 November tahun lalu. Sehingga kini, pasangan tersebut belum temui rezeki untuk menimang cahaya mata.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments