Cerita 9 Gadis ! Mesti Baca !




Amina, Yasmin dan Wadley adalah tiga kisah daripada sembilan gadis berbeza daripada sembilan negara diceritakan dalam Girl Rising atau bermaksud Kebangkitan Gadis.

Sebuah filem arahan pemenang Anugerah Academy, Richard Robbins itu turut membabitkan sembilan penulis dan sembilan artis ternama sebagai suara latar penceritaan dalam durasi 90 minit. Eksekutif Produser, dan Pengarah Eksekutif 10x10, Holly Gordon yang hadir pada tayangan tertutup filem Girls Rising sempena Persidangan Global Women Deliver 2013, baru-baru ini, yang ditayangkan secara tertutup serta disaksikan lebih 200 peserta dan perwakilan Women Deliver, berkata kisah benar ini menyimpulkan hanya menerus pendidikan mereka mampu membuktikan dan memecah halangan untuk membuat perubahan. 


Gorson berkata, dalam berapa cerita ia dilakonkan sendiri oleh mangsa manakala di Pakistan menggunakan teknik penceritaan menggunakan lukisan atas faktor keselamatan.

Ia mengisahkan kekuatan, semangat gadis muda dan bagaimana kuasa pendidikan mampu memberi kekuatan gadis dalam mengubah dunia dalam kemelut perkahwinan kanak-kanak diaturkan keluarga; perhambaan dan diskriminasi yang masih menebal.

Saya dan rakan melihat ke semua kisah ini daripada kacamata seorang wartawan dan berharap ia boleh mencetus inspirasi kepada dunia untuk bertindak lebih baik dalam pendidikan berkaitan kanak-kanak dan gadis, katanya.

Tulang belakang 10x10 adalah wartawan termasuk Gorson.
Girl Rising diterbitkan 10x10 dengan kerjasama Documentary Group, Paul Allens Vulcan Productions, diperkasa rakan kongsi strategik, Intel Corporation dan rakan pengedaran CNN Films.

Selebriti terkenal seperti Meryl Streep, Anne Hathaway, Liam Neeson, Cate Blanchette, Selena Gomez menyumbang suara sebagai penceritaan setiap watak dalam filem berkenaan.

Gadis lain antara diketengahkan ialah kisah Sokha, seorang anak yatim di Kemboja dalam mengejar cita-cita sebagai penari. Sementara Suma, dari Nepal, berjaya menentang perhambaan menerusi muzik.

Ruksana, 11 tahun penghuni kaki lima jalanan di India mengisahkan bagaimana bapanya berkorban memenuhi impiannya yang minat melukis. Bapanya berhijrah ke kota untuk mencari pekerjaan dan menyekolahkan anak mereka. Keluarga itu yakin, pelaburan dalam pendidikan anak-anak adalah pulangan tertinggi dalam ekonomi keluarga.

Kepentingan Pendidikan

Kata Gordon, Girl Rising dihasilkan atas motif kempen pendidikan, iaitu laporan terkini menunjukkan kira-kira 66 juta kanak-kanak tidak bersekolah.

Sedangkan pendidikan memberikan kesan positif kepada budak perempuan. Ia membawa signifikasi ke atas kesihatan, keselamatan, ekonomi dan masa depan seorang gadis.

Sebarkan pesanan filem ini kerana menerusi pendidikan wanita mampu menggegarkan dunia, kata Gordon.

Kenyataan Gordon itu sememangnya berasas. Kajian penyelidikan oleh Goldman Sachs pada tahun lalu mendapati jurang gender pekerjaan dalam kalangan negara membangun mampu dirapatkan sehingga 1.35 peratus.

Peratusan itu sekali gus mampu melonjak pendapatan per kapita sehingga 14 peratus, lebih tinggi daripada ramalan asas Bank Dunia menjelang 2020.

Kajian Bank Dunia pada 2002 menunjukkan kanak-kanak perempuan mampu mendapatkan pulangan sehingga 18 peratus daripada persekolahan menengah (sekiranya bersekolah) berbanding hanya 14 peratus pulangan daripada kanak-kanak lelaki.

Hakikatnya, negara yang mendidik kanak-kanak perempuan mempunyai kadar yang lebih rendah penyakit, kelahiran lebih rendah, keluarga lebih kecil dan anak berpendidikan tinggi.

Hakikatnya, wanita berpendidikan mampu berjimat cermat dari segi kewangan berbanding lelaki. Mereka membina perniagaan pada kadar yang lebih tinggi daripada lelaki menjadi warga negara lebih bertanggungjawab, lebih terbabit dengan kerajaan, malah berupaya mendapatkan pendidikan untuk mendidik anak mereka kelak.

Girl Rising boleh disaksikan di saluran CNN pada 17 dan 22 Jun depan di seluruh dunia atau berhubung dengan screenings@10x10act.org untuk tayangan tertutup.


Post a Comment

0 Comments