Seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemui mati dipercayai akibat dibunuh di dalam bilik asramanya pada pagi 24 Jun lalu.
Menurut laporan, wanita berusia 20 tahun itu ditemui oleh rakannya kira-kira jam 10 pagi dengan kesan kecederaan pada anggota badan dan terus menghubungi pihak polis.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi sebuah universiti di Cyberjaya dan tinggal bersama lima rakannya di bilik tersebut.
Bagaimanapun, lima rakan mangsa sudah pulang bercuti sejak 21 Jun lalu manakala mangsa tinggal bersendirian kerana dijadualkan menghadapi peperiksaan.
Tiada unsur rogol
Kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, hasil bedah siasat terhadap mangsa berbangsa Sikh itu mendapati kematian berpunca daripada kecederaan di kepala.
Tambahnya, tiada kesan yang boleh dikaitkan dengan unsur rogol seperti yang ditularkan di media sosial dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, atas kesalahan membunuh.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis tidak menemui sebarang tanda pecah masuk ke kediaman mangsa.
Suspek keluar duit di ATM guna kad mangsa
Norhizam turut memaklumkan bahawa polis telah berjaya mengesan antara lima hingga enam transaksi pengeluaran wang menggunakan kad pengeluaran wang automatik ATM milik mangsa di sekitar ibu negara.
Suspek lelaki terbabit mula melakukan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad perbankan mangsa tidak lama selepas mangsa dibunuh.
Selain kad ATM, barangan lain yang dilaporkan hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan juga wang tunai.
Pihak polis sedang melakukan siasatan bagi mengenalpasti identiti suspek dan mengesan keberadaannya.
The post Pelajar Universiti Swasta Cyberjaya Ditemui Maut Disyaki Dibunuh, Tiada Unsur Rogol – Polis first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments