Personaliti media sosial, Sarah Yasmine tampil menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi punca keretakan hubungan antara pasangan pelakon, Niezam Zaidi dan Fify Azmi.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Threads, Sarah menjelaskan bahawa hubungannya dengan Niezam tidak seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, Sarah berkata mereka hanya berkawan rapat selepas mula mengenali antara satu sama lain ketika Niezam terbabit dalam penggambaran drama Dia Bukan Syurga pada tahun lalu.
Dalam penjelasan sama, Sarah turut mendakwa hubungan antara Niezam dan Fify sudah pun berdepan masalah ketika dia mula mengenali pelakon lelaki itu.
Malah, Sarah mengakui dia mengetahui Niezam masih mempunyai perasaan terhadap Fify ketika itu, sekali gus membuatkan dirinya memilih untuk tidak meneruskan sebarang hubungan yang boleh mencetuskan salah faham.
“Masa saya dengan Niezam dulu, waktu tu dia memang dah bukan dengan Fify. Banyak perkara yang berlaku ketika itu, dan salah satu sebab saya tak nak teruskan apa-apa adalah kerana saya tahu Niezam masih sayangkan Fify.”
“Sebab itu saya cuba jadi kawan yang beri semangat dan galakkan dia untuk cuba perbaiki hubungan dengan Fify. Mana tahu kali ini semuanya boleh jadi lebih baik.”
Mengulas mengenai tangkap layar perbualan yang tular, Sarah berkata dia menjadi tempat Niezam meluahkan perasaan selepas pelakon itu berpisah dengan Fify.
Menurut Sarah, ketika itu Niezam baru berpindah rumah dan menghubunginya kerana memerlukan seseorang untuk bercakap serta mendapatkan bantuan.
Sarah berkata dia kemudian datang ke rumah Niezam bagi membantu mengemas kediaman tersebut. Namun, dia menegaskan mereka tidak bersendirian kerana turut ditemani beberapa rakan lain.
“Jadi pasal isu cadar dan katil tu, sebenarnya sebab rumah dia memang tengah bersepah kerana baru pindah. Kerusi dan tempat duduk pun belum tersusun lagi, jadi memang tak banyak tempat untuk duduk.
“Masa tu dia cuma cakap saya tak ada tempat lain untuk duduk. Jadi dia tanya sama ada saya okay kalau duduk atas katil sebab itu sahaja tempat yang paling bersih dan selesa untuk kami duduk ketika itu. Tak ada apa-apa maksud lain pun.”
Dalam masa sama, Sarah mendakwa Fify mengetahui status persahabatannya dengan Niezam kerana mereka pernah berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan pelakon tersebut.
Lebih mengejutkan, Sarah turut mendakwa pendedahan yang dibuat terhadap Niezam bukanlah sesuatu yang berlaku secara spontan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post “Katil Je Paling Bersih..” – Sarah Yasmine Perjelas Isu Bawa Cadar Ke Rumah Niezam Zaidi, Nafi Jadi ‘Penyondol’ first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas


0 Comments