Seorang bekas pekerja stesen televisyen berbayar Astro, Nora Idayu Jaafar, 49, dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap 731 pertuduhan memanipulasi pangkalan data syarikat sepanjang hampir tujuh tahun.
Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan secara serentak bermula dari tarikh sabitan, memetik Berita Harian.

Menurut laporan Berita Harian, prosiding membabitkan pembacaan kesemua 731 pertuduhan itu mengambil masa kira-kira lima jam sebelum tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Tertuduh yang mula berkhidmat di Astro sejak tahun 2003 dan ditempatkan di Unit Sokongan Komersial didapati menyalahgunakan akses terhadap sistem dalaman syarikat iaitu AMDOCS Customer Relationship Management (CRM) serta Enterprise Data Warehouse (EDW).
Berdasarkan fakta kes, Nora menggunakan dua ID pengguna miliknya untuk menukar 731 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat secara tidak sah antara 30 Oktober 2013 hingga 20 Ogos 2020.
Tindakan tersebut melanggar polisi Astro memandangkan akaun korporat merupakan akaun tidak berbayar yang hanya dikhususkan untuk kegunaan dalaman syarikat.
Perbuatan itu membolehkan pelanggan biasa menikmati perkhidmatan penyiaran berbayar tanpa dikenakan sebarang caj secara tidak sah.

Kesalahan berkenaan dilakukan di Pejabat Astro di Menara Icon, Jalan Tun Razak dan didakwa di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
Peguam bela memohon hukuman penjara empat tahun secara serentak kerana tertuduh tiada rekod jenayah lampau, menghidap bipolar serta berdepan tekanan rumah tangga dan kewangan. Namun, pihak pendakwaan tetap memohon hukuman berat dikenakan.
Pihak pendakwaan menegaskan bahawa perbuatan tersebut dilakukan secara sistematik, konsisten dan berpanjangan sehingga menjejaskan integriti serta tahap kebolehpercayaan sistem pengurusan pelanggan dan transaksi utama Astro.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post Wanita Ini Tukar 731 Akaun Pelanggan Astro Jadi ‘Free’, Dipenjara 4 Tahun Selepas Mengaku Bersalah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas

0 Comments