Keputusan status halal coklat Cadbury selepas analisis - JAKIM



PUTRAJAYA: Keputusan rasmi berhubung status halal berikutan penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperolehi dalam tempoh tujuh hari.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas JAKIM bersama-sama Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia. 
"Makmal Jabatan Kimia merupakan makmal rasmi digunakan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini. 

Beliau berkata, makmal itu juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisis makanan selain mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses.

Dua sampel coklat keluaran Syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd yang didapati mempunyai DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013 N01RI1).

Othman berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Kementerian Kesihatan menghantar secara rasmi laporan hasil penemuan analisis kedua-dua sampel produk berkenaan kepada JAKIM bagi melengkapkan hasil siasatan.

Selain itu, katanya sebarang penemuan oleh mana-mana agensi yang melibatkan isu halal perlu diselaraskan bersama JAKIM atau JAIN.
"Oleh itu kenyataan berhubung isu halal hanya akan dikeluarkan oleh JAKIM bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam," katanya.

Menurutnya, JAKIM turut menetapkan pemegang Sijil Halal Malaysia perlu membuat pengujian berkala bagi produk dan ramuan kritikal (seperti ramuan berasaskan haiwan) di makmal yang telah mendapat akreditasi Jabatan Standard Malaysia.
Pada masa sama, pihak JAKIM telah menghantar pasukan pemantauan dan penguatkuasaan halal membuat pemeriksaan terhadap seluruh rantaian pengeluaran produk syarikat itu merangkumi bahan mentah, aliran pemprosesan, penyimpanan, peralatan dan lain-lain sebagai sebahagian proses siasatan.

"Jadi semua pihak digesa tidak membuat tindakan terburu-buru dalam isu itu bagi mengelak keresahan awam, sebaliknya menyerahkan tindakan dan keputusan selanjutnya kepada pihak berautoriti," katanya.

- BERNAMA 

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KeputusanstatushalalcoklatCadburyselepasanalisis-JAKIM/Article/?mutakhir=1


Post a Comment

0 Comments