Pekeliling 81 skim perkhidmatan awam keluar bulan depan






KUCHING 28 Okt. - Pekeliling berkaitan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 akan dikeluarkan mulai bulan depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, antara penambahbaikan yang bakal dilakukan adalah dari segi peluang peningkatan gred jawatan melibatkan para penjawat awam.
Katanya, perkara itu telah pun memasuki fasa akhir selepas melalui proses kajian yang cukup teliti bagi mendapatkan persetujuan semua pihak.
"Terima kasih kepada kerajaan kerana telah bersetuju mengadakan pindaan dalam skim perkhidmatan awam yang ada.
"Bagi tahun ini kita telah mengkaji 81 skim, insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan mula mengkaji skim yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Komanwel bagi Pengurusan dan Pentadbiran Awam (CAPAM) dan Forum Serantau CAPAM 2013 yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Ali dalam pada itu berharap semua penjawat awam dari pelbagai peringkat yang menerima surat tawaran akan menyambut baik setiap perubahan dalam skim perkhidmatan masing-masing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131029/dn_04/Pekeliling-81-skim-perkhidmatan-awam-keluar-bulan-depan#ixzz2kanYwkgg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Post a Comment

0 Comments