Biarpun dikecam teruk susulan kenyataan kontroversi berkaitan golongan B40 sebelum ini, ikon fesyen dan pengasas tudung terkemuka, Datin Vivy Yusof tetap meneruskan aktiviti kebajikan membantu petugas barisan hadapan yang sedang melalui saat getir, bertungkus lumus mengekang penularan wabak COVID-19.
Menerusi Instagram, Vivy meluahkan perasaannya yang tersentuh serta sebak melihat petugas hospital terpaksa memakai plastik sampah untuk melindungi diri kerana kebanyakan hospital di seluruh negara mengalami kekurangan sumber peralatan perlindungan diri (PPE).
Meskipun sedang dihimpit kontroversi, Vivy berkata ini bukannya masa untuk dia berdiam diri. Banyak lagi perkara penting yang perlu dilakukan dan dia menyeru orang ramai menghulurkan bantuan.
Kami dimaklumkan, pihak hospital berdepan masalah kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE). Hati kami tersentuh apabila melihat petugas barisan hadapan memakai plastik sampah untuk melindungi diri mereka.
Masalah kekurangan sut PPE ini dihadapi secara global. Oleh itu, beberapa pereka tempatan bergabung di bawah MODA dengan menjahit sut PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan ini.
Fashion Valet akan menderma, saya juga akan menderma. Tetapi, impaknya akan menjadi lebih hebat jika kita semua dapat memberikan sokongan. Marilah kita bersama-sama melindungi barisan hadapan kita.
Terdahulu, Vivy dikecam netizen kerana didakwa mempertikaikan bantuan diberikan kerajaan kepada golongan B40 dan M40 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dia seakan memperkecilkan golongan tersebut dan gara-gara itu ada yang mahu memboikot produknya serta melancarkan petisyen memintanya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
sumber: beautifulnara.com #superpantas
0 Comments