Penyokong PH dan BN saling berbalas sorakan sehingga menimbulkan ketegangan dalam PRK Rantau hari ini.
oleh Faiz Zainuddin
SEREMBAN: Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hampir bertumbuk dalam insiden sorak-menyorak pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung hari ini.
Kejadian berlaku selepas lebih sejam kedua-dua kumpulan itu berkumpul di sepanjang jalan berdekatan pusat mengundi di SJKC Chung Hua dekat sini, untuk meraih sokongan pengundi.
Berlaku tolak menolak antara kedua-dua penyokong parti terbabit dipercayai bermula apabila masing-masing pihak membuat provokasi menyerang peribadi calon parti lawan.
“Hidup BN. Hidup Tok Mat. Pakatan penipu. Harga mintak tak turun. Kereta terbang, mana kereta terbang?,” adalah antara sorakan yang boleh didengar di pihak penyokong BN.
Tidak mahu mengalah, penyokong PH pula membalas dengan sorakan seperti, “BN perompak. Tolak BN. Tolak Tok Mat”
Bagaimana pun ketegangan yang berlaku berjaya ditenangkan oleh kedua-dua belah pihak tanpa kejadian tidak diingini berlaku.
Dalam pada itu, calon PH Dr S Streram menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan kehadiran penyokong parti yang didakwanya berkempen bagi meraih undi dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi.
Beliau berkata, perbuatan itu jelas bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2012), sekali gus meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan.
Streram merujuk kepada kejadian yang berlaku di hadapan pusat mengundi di SJKC Chuang Hua.
“Terdapat penyokong berkempen kepada pengundi. Ini salah di bawah akta pilihanraya. Saya merayu kepada SPR. Mereka mesti dijauhkan melepasi jarak 50 meter.
Calon PH Dr S Streram tidak puas hati berikutan kehadiran penyokong parti yang didakwanya berkempen bagi meraih undi dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi.
“Saya tidak lihat SPR ambil tindakan. Saya sudah minta mereka bertindak,” katanya ketika ditemui media selepas melawat pusat mengundi di sekolah berkenaan pagi ini.
Dalam perkembangan sama, calon BN Mohamad Hasan berkata, beliau gembira dan berpuas hati dengan proses pengundian yang sedang berjalan.
Seramai 20,793 orang daripada keseluruhan 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi dengan 11 daripadanya mengundi secara pos.
Pengundian dijangka ditutup pada 5.30 petang dan keputusan diumumkan malam ini. – Sumber Free Malaysia Today
The post Penyokong PH, BN hampir bertumbuk di Rantau appeared first on Malaysian Review.
sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

0 Comments