Malaysia: MAS kena jual tak lama lagi – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan Malaysia Airlines Berhad (MAS) akan dijual tidak lama lagi.

Katanya, ia berdasarkan kepada kenyataan daripada Pakatan Harapan baru-baru ini berhubung nasib syarikat penerbangan itu.

Kata Najib, apabila Proton yang masa itu milik penuh syarikat swasta menjual 49 peratus saham mereka kepada Geely, ramai dari Pakatan Harapan yang marah.

Sekarang katanya, Pakatan Harapan mahu jual ikon negara MAS yang kini 100 peratus milik kerajaan kepada syarikat swasta yang berpengalaman. Bila masa tiba hari nanti, agaknya pemimpin PH akan marah juga atau tidak?” soalnya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan sudah ada pihak dalam dan luar negara berminat membeli Malaysia Airlines (MAS).

Meskipun menyayangi MAS dan berhasrat meneruskan penerbangan negara itu, namun, Dr Mahathir mengakui kerajaan sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian syarikat tersebut.

“Ada pihak-pihak (dalam dan luar) tertentu yang ingin beli MAS, jadi kita tak tolak. Kita nak kaji sama ada perlu dijual atau tidak. Apa yang kita nampak pengurusan (MAS) setakat ini walaupun memilih pengurus dari luar negara, namun MAS masih mengalami kerugian. Jadi satu dari caranya dengan menjualnya.

“Saya sayang MAS. Saya nak MAS terus dijadikan satu penerbangan negara. Tapi kita nampak seolah kita tak mampu,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir juga tidak menolak jika MAS terus kekal diuruskan oleh kerajaan namun, syarikat penerbangan itu perlu dirombak sepenuhnya.

“Itu pun ada (kekal), akan kita timbang. Sama ada nak tukar pegurusan atau perkecilkan atau besarkan.

“Kita mempunyai banyak pesawat yang tidak digunakan sepenuhnya dan ini menyebabkan kerugian,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri kecewa dengan tindakan pengurusan MAS yang memberhentikan 6,000 kakitangan meskipun dibantu kerajaan dengan suntikan dana RM6 bilion.

“Strategi itu tidak menguntungkan. Kerajaan memberi RM6 bilion kepada MAS untuk tolong MAS. Dengan dana itu pula, MAS telah memberhentikan seramai 6,000 pekerja.

“Bahkan dengan tindakan menamatkan khidmat kakitangan itu, MAS tak terbang seperti dulu. Sudah hapuskan banyak penerbangan. Bermakna dari segi pengurangan kakitangan dan pengurangan kerja, tidak ada bezalah. Kalau kurangkan pekerja untuk kekalkan status lama, baru ada penjimatan. Namun, kalau kurangkan pekerja, kurang kerja, tak ada kelebihan,” ujarnya.

The post MAS kena jual tak lama lagi – Najib appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

Post a Comment

0 Comments