Malaysia: Kes Rosmah minta rasuah dipindah

Najib dan isterinya Rosmah, kedua mereka didakwa pelbagai tuduhan rasuah, penggubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa. – Foto Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar sekolah-sekolah luar bandar Sarawak dibenarkan dipindah ke Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan permohonan pihak pendakwa raya.

Permohonan pindah kes itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar manakala Rosmah sebagai responden diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada 15 November lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Pada tarikh sama di mahkamah berasingan, bekas pembantu peribadi beliau Rizal Mansor mengaku tidak bersalah meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

The post Kes Rosmah minta rasuah dipindah appeared first on Malaysian Review.



sumber: Malaysiareview.com via #superpantas

Post a Comment

0 Comments