Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa wang berjumlah RM2.8 juta yang diterimanya adalah sah dan diberikan secara sukarela sebagai ‘wang pengenalan’.
Bekas pelakon drama Spa Q berusia 48 tahun itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bela diri bagi tiga pertuduhan bersubahat di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Menurut Zizie Izette, wang tersebut diberikan selepas beliau memperkenalkan Felcra Bhd kepada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Beliau yang juga saksi pembelaan kedua menegaskan tidak pernah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan menafikan wujud sebarang pakatan rasuah.
“Saya tidak memberikan atau menggunakan mana-mana wang daripada jumlah tersebut kepada arwah suami.”
“Saya juga tidak memaklumkan perkara ini kepadanya dan sama sekali tidak bersubahat dengan arwah dalam sebarang salah laku rasuah,” katanya dalam pernyataan saksi.
Zizie turut menjelaskan bahawa beliau hanya mengetahui mengenai wang tersebut selepas dihubungi Norhaili yang memaklumkan ia diberikan sebagai tanda penghargaan.
“Saya terkejut kerana tidak buat apa-apa pun, tetapi Norhaili kata wang itu merupakan amalan biasa agensinya dan strategi pemasaran.”
“Bukan itu sahaja, Norhaili telah memberi keterangan bersumpah bahawa ia merupakan wang pengenalan dan bukan rasuah,” katanya.
Beliau juga berkata Norhaili sebelum ini pernah memberikan wang pengenalan kepada pihak lain dengan nilai mencecah jutaan ringgit.
Dalam pertuduhan pertama, Zizie didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad memperoleh suapan RM2.2 juta daripada Madhi bagi mendapatkan kelulusan supaya Felcra melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual.
Beliau turut berdepan dua lagi pertuduhan menerima suapan RM262,500 dan RM337,500 bagi tujuan sama pada Jun 2015.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
The post “Saya Terkejut Terima Wang Sebanyak Itu” – Zizie Izette Dakwa RM2.8 Juta Adalah Transaksi Sah Bukan Rasuah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
sumber: beautifulnara.com #superpantas




0 Comments