Menteri Besar Selangor Bakal Umum Henti Catuan Air




SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal mengumumkan tarikh pemberhentian catuan air di seluruh Selangor dalam masa terdekat.

Menurutnya, keputusan bakal diambil secepat mungkin ekoran kenaikan paras air di empangan.

“Kenaikan air di empangan mula meningkat. Saya akan mengadakan perjumpaan sama ada Jumaat ini atau Isnin depan untuk menetapkan tarikh pemberhentian catuan air. Lagi cepat lagi baik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Annexe, hari ini.

Abdul Khalid berkata laporan peningkatan air itu diterima daripada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Laporan itu dari Luas. Saya akan memantau dari sehari ke sehari,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menegaskan tidak akan berganjak daripada meneruskan pelan catuan air berjadual di beberapa kawasan selagi keadaan paras air di empangan masih belum memuaskan.

Menurut Abdul Khalid, keputusan tidak akan diubah sehingga musim hujan dan peratus takungan air di empangan melebihi 65 hingga 70 peratus.

Pelan catuan yang bermula sejak 2 Mac lalu melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/mb-selangor-bakal-umum-henti-catuan-air-1.270390

Post a Comment

0 Comments